Penduduk Sg Undang gagal dapat perintah mahkamah
Penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut gagal mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur daripada merobohkan rumah mereka untuk memberi laluan kepada projek tebatan banjir.
Penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut gagal mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur daripada merobohkan rumah mereka untuk memberi laluan kepada projek tebatan banjir.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rauf Sharif menolak dengan kos permohonan Pengerusi Bertindak Jawatankuasa Penduduk Kampung Sungai Udang, Mohamad Yaacob bersama 27 penduduk lain.
Hakim Rauf berkata, kerajaan boleh mengambil tanah dengan tujuan untuk melaksanakan projek bagi kepentingan orang ramai.
"Terdapat kes terdahulu yang menolak kes ini. Kes ini lebih kepada soal pampasan dan bukan pemilikan," katanya dalam penghakiman tersebut.
Beliau berkata, soal kemudahan awam seperti bangunan dan jalanraya yang dibina oleh pihak berkuasa adalah bersifat kemanusiaan dan bukan bermakna kerajaan mengiktiraf mereka.
Dalam kes tersebut, penduduk Kampung Sungai Udang diwakili oleh peguam Abdul Rashid Ismail. Pegauam B Thangaraj mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur manakala peguam Narkunarwaty Sundareson mewakili Kerajaan Malaysia.
Mohamad dan 27 penduduk setinggan Kampung Sungai Udang memohon mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan rumah mereka.
Dalam penghujahannya, Abdul Rashid berkata, penduduk Kampung Sungai Udang bukan setinggan tetapi adalah pemegang lesen dan mendapat pengiktirafan pihak berkuasa dan ada hak untuk terus berada di kawasan itu.
Penempatan baru
"Jalan tar diturap oleh DBKL, dewan orang ramai dibina dengan peruntukan Jabatan Perdana Menteri, begitu juga dengan jambatan batu telah dibina oleh DBKL.
"Ini bermakna Kampung Sungai Udang diiktiraf oleh pihak berkuasa kerana jika ia penempatan setinggan, kerajaan tidak akan menyediakan kemudahan tersebut," katanya.
Peguam Thangaraj pula berkata, penduduk Sungai Udang adalah setinggan dan DBKL telah menyediakan penempatan baru untuk mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
"Projek pembinaan kolam takungan banjir adalah untuk kepentingan awam yang menggunakan wang dari luar negara. Ia telah tertangguh sejak tahun 2002 kerana masalah setinggan di kawasan tersebut," hujahnya.
Narkunarwaty pula berkata, tidak ada sebarang kelulusan diberikan kepada penduduk kampung tersebut dan rumah kediaman dibina di situ tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Berikutan itu, katanya, kerajaan boleh merobohkan rumah mereka kerana mereka menduduki kawasan tersebut secara tidak sah
Bagaimanapun peguam Abdul Rashid berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur minggu depan.

