Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Bukan sahaja Cina akan derita jika Umno terus berkuasa'
Diterbitkan:  Dec 1, 2016 3:36 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun harus berhenti memainkan isu perkauman dengan tidak lagi mengugut kaum Cina yang menyokong pembangkang, kata Pemuda DAP.

Ini kerana, kata ketuanya Wong Kah Woh, bukan sahaja Cina malah semua kaum akan menderita jika Umno kekal berkuasa pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Jelas sekali, jika Umno terus berkuasa dan dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, negara ini akan musnah dengan kepentingan semua rakyat Malaysia sama ada orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan akan terjejas," ujar beliau dalam kenyataan.

Semalam, semasa berucap di luar perhimpunan agung tahunan Umno 2016, Khairul Azwan berkata, sokongan berterusan kepada DAP mungkin akan memakan diri dan semakin memencilkan masyarakat Cina di negara ini selain mungkin akan membawa kesan cukup besar kepada landskap politik tanahair.

"Ditambah dengan pengukuhan (kedudukan) parti-parti politik bumiputera di Sabah dan Sarawak, tidakkah ini akan merubah landskap politik negara dengan wujudnya dominasi Melayu (dan) bumiputera dalam pembentukan kerajaan?" katanya.

Dalam keadaan begitu, kata Khairul Azwan, akan wujud desakan dan tekanan kuat seperti meminta kerajaan mengurangkan tumpuan kepada sekolah aliran Cina.

Malah, katanya, sudah wujud tuntutan supaya sekolah berkenaan dihapuskan saja dan ia dibuat bukan saja di kalangan orang politik malah kumpulan profesional serta ahli akademik.

Kemungkinan lain yang dibayangkan Khairul Azwan jika DAP terus mendapat sokongan komuniti Cina ialah pemindahan sektor strategik seperti pengangkutan dibawa ke negeri dikuasai BN.

"Mungkin hab penerbangan di Pulau Pinang (negeri yang kini ditadbir kerajaan Pakatan Harapan diketuai DAP), kita pindahkan ke Kedah atau Perak.

"Ini tidak mustahil jika sikap chauvinis dan naratif DAP ini terus dianuti oleh pengundi Cina," tambah Khairul Azwan.

Mengulas lanjut, Wong berkata, Khairul Azwan memilih untuk memainkan isu perkauman dalam usaha untuk mengalihkan perhatian rakyat dan mendapatkan semula sokongan rakyat kepada Umno.

"Khairul Azwan adalah salah apabila memandang rendah kebijaksanaan 51 peratus rakyat Malaysia yang mengundi pakatan pembangkang pada tahun 2013," jelas Wong.

Lihat Komen
ADS