Usaha melawan jenayah bukan sahaja disumbangkan oleh manusia, tetapi juga binatang.
Dalam mengesan jenayah, anjing mempunyai kebolehan semula jadi yang amat berguna.
Di Johor, seekor anjing jenis German Shepherd mendapat penghargaan apabila dianugerahkan pingat 'Jasamu Dikenang' atas kejayaannya mengesan anggota Geng Kapak.
Menurut Facebook polis, anjing bernama Murat itu berjaya mengesan anggota kumpulan jenayah itu yang lari ke kawasan belukar pada 16 November lalu.
Laman sosial itu turut memuat naik gambar anjing lapan tahun itu bersama pelatihnya Lans Koperal Hardin Ng Kang dari Unit Anjing Pengesan (K9) ibu pejabat polis daerah (IPD) Segamat.
Murat menerima penghargaan tersebut daripada Ketua Polis Johor Datuk Sri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, pada Majlis Perhimpunan Bulanan ibu pejabat polis kontinjen Johor.
