Perjanjian dua hala projek HSR mungkin dimeterai 21 Dis
Perjanjian dua hala mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) antara Malaysia dan Singapura mungkin ditandatangani pada 21 Disember.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata beliau telah menemui Menteri Penyelaras Singapura bagi Infrastruktur merangkap Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan Selasa lepas untuk membincangkan baki butiran perjanjian tersebut.
"Kedua-dua pihak kini mengambil tindakan susulan yang perlu untuk mematuhi prosedur dalaman masing-masing dan keperluan undang-undang bagi menandatangani perjanjian," kata beliau dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu tidak menyebut di mana majlis menandatangani perjanjian itu akan diadakan.
Landasan sepanjang 350 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit.
Terminal HSR di Singapura terletak di Jurong East sementara Malaysia akan mempunyai tujuh stesen iaitu di Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi projek HSR di Putrajaya pada 19 Julai.
- Bernama

