Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin PAS: Siti Kasim cuma memusuhi Kelantan
Diterbitkan:  Dec 2, 2016 1:53 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Peguam Siti Kasim bukan pencinta alam sekitar dan tidak benar-benar mahu membela kaum masyarakat Orang Asli di Kelantan, dakwa seorang anggota jawatankuasa PAS.

Muhammad Sanusi mendakwa apa yang dilakukan peguam berkenaan disebabkan memusuhi kerajaan negeri Kelantan.

"Hal di Kelantan itu digerakkan oleh parti politik, berpakat dengan penentang kelulusan undang-undang Islam seperti Siti Kasim yang memusuhi kerajaan negeri Kelantan, bukan pencinta alam sekitar, jauh sekali pencinta orang asal.

"Pokoknya asasnya ialah persepsi, memusuhi bukan mencintai," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam Harakahdaily semalam.

Siti Kasim merupakan antara individu yang lantang bersuara berkaitan isu-isu yang memberi kesan terhadap masyarakat Orang Asli termasuk Orang Asli Temiar di Gua Musang.

Selain itu, Muhammad Sanusi juga berkata, individu yang benar-benar mengambil berat untuk menghentikan pembalakan demi memelihara hutan dan kehidupan termasuk Orang Asli, patut melobi untuk mengharamkan pembalakan.

Katanya lagi, pembalakan yang berlaku ketika ini juga tidak salah memandangkan terdapat undang-undang dan prosedur di bawah Jabatan Perhutanan yang mengawal selia aktiviti berkenaan.

Pembalakan hanya menjadi jenayah apabila terdapat pihak yang melanggar undang-undang berkenaan, kata Muhammad Sanusi.

"Jika ada keprihatinan awam untuk menghalang pembalakan bagi menjaga kelestarian hutan dan kehidupan orang ramai termasuk Orang Asli, mereka patut melobi pindaan undang-undang supaya mengharamkan pembalakan sama sekali.

"Jangan ada mana-mana negeri dan pengusaha yang diizinkan mengusahakan pembalakan.

“Jika keprihatinan itu hanya ditujukan kepada satu negeri sahaja iaitu Kelantan, tetapi tidak prihatin pula kepada negeri lain yang turut meluluskan pembalakan, seperti Sarawak, Sabah atau Pahang, yang jauh lebih besar dan banyak pengeluarannya, keprihatinan itu tentu mempunyai muslihat.

"Muslihat yang boleh disyaki dalam kategori jahat! Jika kerajaan negeri dihalang daripada mengusahakan hutan sebagai sumber hasil, bolehkah dicadangkan sumber hasil lain kepada kerajaan negeri dan 127,757 orang pekerja yang terbabit dalam industri itu?" ujarnya.

'Perasuah musuh sebenar'

Sehubungan itu, katanya, musuh sebenar dalam industri pembalakan adalah mereka yang melakukan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan yang melanggar undang-undang.

Pihak berkuasa telah melakukan tangkapan terhadap masyarakat Orang Asli yang melakukan sekatan di hutan simpan kekal di Gua Musang Selasa lalu.

Kerajaan Kelantan sebelum ini menggesa agar sekatan dihentikan dan menegaskan bahawa aktiviti pembalakan yang berlaku adalah sah kerana ia sumber penting pendapatan negeri.

Bagaimanapun, pendekatan yang diambil bagi menamatkan sekatan berkenaan mencetuskan kemarahan dari kumpulan hak asasi manusia.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Siti Kasim berkaitan dakwaan itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS