Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mekanisme baru perlu untuk tangani masalah peneroka Felda
Diterbitkan:  Dec 3, 2016 2:28 PM
Dikemaskini: 7:11 AM

PAU 2016 Kerajaan dan pengurusan Felda perlu mencari mekanisme baharu untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi peneroka dengan segera, sekali gus mengelakkan 'penghijrahan' sokongan mereka.

Pelbagai isu yang timbul seperti penangguhan pembayaran buah kelapa sawit, penyata hutang tanam semula dan sara hidup Felda Technoplant yang dikatakan membebankan dan tidak dikemas kini, menyebabkan golongan peneroka berasa dipinggirkan.

Beberapa perwakilan di perhimpunan agung Umno 2016 dan penganalisis politik berpendapat kementerian yang berkaitan perlu proaktif menyelesaikan isu seperti kenaikan kos sara hidup dan masalah perumahan untuk generasi muda Felda.

Mereka bimbang sekiranya isu ini tidak diatasi segera, kemungkinan banyak kerusi Parlimen di kawasan Felda yang menjadi kubu kuat Umno dan deposit tetap Barisan Nasional (BN), jatuh ke tangan pembangkang.

Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Dr Muhammad Asri Mohd Ali berkata kerajaan perlu menstruktur semula pengurusan Felda kerana permasalahan yang dibangkitkan sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan tadbir urus agensi pembangunan tanah persekutuan itu.

"Kalau pimpinan Felda tidak melihat isu tersebut secara keseluruhan, kita boleh jangka akan berlaku masalah dari semasa ke semasa...ini boleh mencetuskan masalah lain," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau menyarakan agensi yang bertanggungjawab terhadap Felda supaya segera mengatasi isu seperti kekurangan minyak masak bersubsidi dan pelaksanaan pembinaan rumah mampu milik kepada generasi kedua Felda.

Muhammad Asri berkata Umno perlu menawarkan sesuatu yang baharu kepada pengundi di kawasan Felda khususnya untuk generasi kedua seperti program keusahawanan, kemahiran dan peluang perniagaan.

"Umno perlu menganjurkan program baharu dimana komuniti melihat Umno yang punya program itu dan bukannya kerajaan. Kalau kerajaan yang buat dan ia tidak ada kaitan dengan Umno, penduduk Felda tidak akan berasa terhutang budi dengan Umno malah merasakan parti itu tidak pedulikan mereka," katanya.

Felda, iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, ditubuhkan pada 1 Julai 1956 oleh Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein untuk pembangunan tanah dan penempatan semula dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman sawit dan getah.

Daripada sebuah agensi pembangunan tanah yang menumpu kepada pembangunan fizikal dan pembangunan tanah, Felda kini turut menjadi sebuah perbadanan multinasional antarabangsa dan mempunyai beberapa entiti korporat swasta seperti Koperasi Permodalan Felda (Koperasi Felda), Felda Global Ventures (FGV) dan Felda Investment Corporation (FIC).

Felda, adalah contoh inisiatif kerajaan yang berjaya memajukan orang Melayu, menukarkan pandangan negatif terhadap sektor pertanian, selain mengubah taraf hidup golongan miskin di luar bandar.

Sejumlah 54 kawasan Parlimen dan 96 kerusi Dewan Undangan Negeri mempunyai penempatan Felda.

Muhammad Asri berkata seluruh kepimpinan Umno perlu memberi perhatian kepada senario yang berlaku pada PRU13 yang menyaksikan enam kerusi jatuh kepada pembangkang.

Semasa membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Khamis, Timbalan Ketua Umno bahagian Maran Datuk Shahaniza Shamsuddin menyuarakan kebimbangan permasalahan yang menghimpit warga Felda itu akan menyebabkan golongan peneroka yang selama ini menyokong kerajaan, memberi undi protes pada PRU14.

Shahaniza mengingatkan jika pembangkang mampu menambah 23 kerusi Parlimen Felda, maka akan berakhirnya era pemerintahan BN yang ditunjangi Umno.

Perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu, Zainol Abidin Mohamad berkata kerajaan dan Felda tidak harus membiarkan permasalahan peneroka berterusan kerana ia boleh mencetuskan kemarahan yang memuncak.

"Peneroka Felda adalah masyarakat pertanian yang bergantung kepada hasil getah dan sawit, mereka merupakan penyokong kuat kerajaan selama ini, oleh itu usah biarkan sokongan mereka itu berarah kepada pembangkang," katanya.

Perwakilan Umno bahagian Tumpat Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz pula berkata selain penyelesaian oleh kerajaan dan Felda, Umno perlu mengambil bahagian menangani permasalahan yang membelenggu peneroka.

"Umno perlu menyediakan mekanisme berkesan untuk warga Felda mendapat maklumat yang pantas dan tepat, kerana perkembangan media sosial hari ini turut mempengaruhi pemikiran mereka.

"...kita tidak mahu spekulasi yang dilakukan pembangkang mempengaruhi mereka untuk menolak BN pada PRU14," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS