Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah tetapkan 2 Februari dengar rayuan Adam Adli
Diterbitkan:  Dec 6, 2016 6:58 PM
Dikemaskini: 11:02 AM

Mahkamah Rayuan menetapkan 2 Feb tahun depan sebagai tarikh untuk mendengar rayuan aktivis pelajar, Adam Adli Abdul Halim, terhadap sabitan kesalahannya kerana menghasut.

Pihak pendakwa juga mengemukakan rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk menggantikan hukuman penjara 12 bulan terhadap Adam oleh Mahkamah Sesyen kepada denda RM5,000.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menetapkan tarikh pendengaran itu selepas perkara berkenaan disebut di mahkamah hari ini sementara menunggu keputusan satu lagi rayuan menghasut dalam kes Muhammad Safwan Anang.

Timbalan Pendakwa Raya Nurshafini Mustafha memberitahu mahkamah bahawa pihaknya ingin mengkaji dahulu keputusan mahkamah dalam kes Muhammad Safwan.

Bagaimanapun, Mohtarudin mencadangkan supaya tarikh pendengaran itu ditetapkan terlebih dahulu dan pada hari berkenaan, pihak pendakwa boleh membuat keputusan sama ada ingin menarik balik rayuan atau meneruskannya.

Beliau berkata seorang daripada hakim, yang menganggotai panel Mahkamah Rayuan bagi kes Muhammad Safwan, masih bercuti sakit.

Pada 18 Julai tahun ini, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Mohtarudin, Hakim Datuk Seri Zakaria Sam dan Hakim Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham menangguhkan keputusan mereka setelah mendengar hujah rayuan Muhammad Safwan, bekas aktivis pelajar, berhubung sabitan kesalahannya memberi ucapan berbaur hasutan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur pada 13 Mei 2013.

Pihak pendakwa membuat rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menggantikan hukuman penjara 10 bulan yang dikenakan Mahkamah Sesyen terhadap Muhammad Safwan kepada denda RM5,000 atau dua tahun penjara.

Adam dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen pada 19 Nov 2014 kerana didapati bersalah memberi ucapan berbaur hasutan pada satu perhimpunan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini di antara 8.55 malam dan 11.15 malam 13 Mei 2013.

Adam merayu terhadap sabitan kesalahannya manakala pihak pendakwa mengemukakan rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menggantikan hukuman penjara dengan denda RM5,000.

Peguam Melissa Sasidaran mewakili Adam Adli.

- Bernama

Lihat Komen
ADS