Rosmah: Usahawan wanita perlu pecah tembok penghalang
Ekoran trend peningkatan wanita dalam bidang keusahawanan, Yayasan Wanita Malaysia (KESUMA) hari ini disaran agar mempertingkatkan lagi tahap profesionalisme golongan terbabit.
Isteri perdana menteri Rosmah Mansor berkata usaha tersebut perlu kerana berdasarkan hasil kajian, industri kecil dan sederhana (IKS) kini berdepan dengan pelbagai cabaran.
Rosmah yang juga penaung Kesuma berkata terdapat beberapa faktor yang boleh membantutkan perkembangan mikro di kalangan wanita.
Antaranya, kata Rosmah, kebolehan menangani persaingan, akses pasaran yang terhad, isu mewujudkan jaringan perniagaan, latihan dan ilmu perniagaan yang kurang.
"Kesemua yang disenaraikan itu merupakan 'tembok penghalang' yang perlu ditangani bagi memastikan kelangsungan penglibatan wanita dalam perniagaan.
"Wanita perlu terus dibimbing dengan lebih ekstensif untuk mereka terus kekal dan berdaya saing dalam dunia keusahawanan," kata Rosmah ketika berucap dalam majlis minum petang KESUMA di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur hari ini.
Rosmah menyarankan KESUMA mengadakan kursus asas perniagaan seperti pengurusan kewangan dan akuan, penggunaan sistem teknologi maklumat dan strategi pemasaran yang lebih relevan.
"Sekadar cadangan, yayasan boleh mengadakan kursus-kursus asas perniagaan yang boleh menjadi ilmu pelengkap kepada wanita khususnya yang baru berjinak dalam dunia keusahawanan.
“Hanya berbekalkan ilmu kemahiran tanpa ilmu perniagaan sememangnya tidak cukup untuk terus kekal dalam perniagaan IKS yang persainganya semakin sengit," tegas Rosmah.
Tambah Rosmah, beliau juga mahu usahawan wanita hari ini jangan terlalu cepat berputus asa atau gentar untuk berdepan dengan realiti dan cabaran dunia keusahawanan.
Kata Rosmah, apa jua perkara baru yang diceburi pasti akan ada cabaran serta tidak lepas dari ujian.
"Puan-puan tidak boleh berhenti di sini sahaja tanpa perlu terus menimba ilmu perniagaan, fahami selok-belok pasaran dan persaingan perniagaan.
"Lebarkanlah sayap perniagaan ke peringkat nasional dan luar negara. Yakinlah wanita boleh bawa perubahan," tambah Rosmah.
Terdahulu Rosmah menghadiri majlis minum petang bersama lebih 1,00) usahawan wanita dan beliawanis.

