Paling Popular
Terkini

Tiga aktivis yang dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung penerimaan dana asing menghabiskan masa kira-kira tiga jam di Bukit Aman hari ini.

Pook Li Yoon dan Leong Mei Yun dari Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) dan Wong Chin Huat (Institut Pulau Pinang) diarah datang ke ibu pejabat Polis Diraja Malaysia itu untuk diambil keterangan berkaitan dana didakwa disalurkan Yayasan Open Society.

Dua aktivis Empower itu dilihat memasuki Bukit Aman kira-kira jam 2 petang manakala Wong sejam kemudian.

Ketiga-tiga mereka kemudian keluar dari Bukit Aman kira-kira jam 6 petang disambut hampir 20 orang penyokong dipercayai dari Empower.

Menurut peguam mereka, Honey Tan anak guamnya dan aktivis lain disiasat bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan berkaitan kegiatan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

"Empower tidak buat apa-apa kecuali memastikan yang wanita terlibat dalam proses membuat keputusan.

“(Tindakan polis) hanya memberikan tekanan kepada wanita pembela hak asasi manusia," katanya.

Manakala Presiden Empower A Janarthani pula berkata polis bertindak keterlaluan kerana menyoal siasat aktivisnya lebih dari tiga jam.

"Apa yang kami lakukan adalah bekerja untuk demokrasi, bekerja dengan masyarakat dan mendidik kumpulan yang bekerjasama dengan kami.

“Saya rasa (tindakan polis) untuk mengancam dan menakut-nakutkan kami terhadap kerja yang kami lakukan adalah keterlaluan,” katanya.

28 November lalu Malaysiakini melaporkan pejabat Empower di Petaling Jaya diserbu polis.

Kini beberapa pemimpin NGO dipanggil polis untuk disoal siasat ekoran dakwaan ada pertubuhan tertentu menerima bantuan kewangan dari OSF yang dikaitkan dengan Soros.

Antara pertubuhan yang disiasat setakat ini ialah BERSIH, Majlis Peguam dan Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS