Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Maria dilayan sama macam tahanan lain'
Diterbitkan:  Dec 9, 2016 1:49 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, diberi layanan sama seperti mana-mana individu yang diletakkan dalam tahanan polis, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

"Maria Chin melalui prosedur operasi standard (SOP) biasa dan ini menunjukkan dia tidak diberikan sebarang layanan istimewa.

"Jika dia mahu bercakap mengenai pengalaman semasa dalam tahanan, biarlah dia terus bercakap, tetapi dia dilayan mengikut SOP polis dan tiada beza dengan tahanan lain," katanya dipetik portal Free Malaysia Today.

Menurut Nur Jazlan, jika Maria Chin mahu bercakap mengenai pengalaman sepanjang tempoh tahanan itu, pihaknya belum ada cadangan untuk menghalang.

Maria Chin sebelum ini menggambarkan penahanannya sebagai ujian selepas dia disoal siasat antara enam hingga lapan jam setiap hari.

Dia juga ditahan dalam bilik tanpa tingkat, tidur di atas papan dan dipakai penutup mata ketika dibawa keluar atau masuk sel.

Aktivis berusia 60 tahun itu juga tidak dibenarkan memakai pakaian dalam.

Maria Chin ditahanan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma sehari sebelum perhimpunan BERSIH5 diadakan.

Dia dibebaskan 10 hari kemudian.

Kata Nur Jazlan, pemilikan pakaian dalam, tali pinggang dan barangan peribadi tidak dibenarkan demi keselamatan tahanan.

"Tali pinggang dan barangan peribadi lain boleh digunakan untuk mencederakan tahanan secara fizikal.

"Anda boleh menjerut diri sendiri dengan pakaian dalam kerana ia boleh dijadikan seperti tali.

"Sebab itu polis melarangnya. Polis mahu mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS