Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan 2 lagi individu kes pukul hina Datuk M
Diterbitkan:  Dec 9, 2016 3:24 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Polis menahan dua lagi individu berhubung kejadian pukul seorang lelaki dipercayai kerana menghina mendiang ahli perniagaan Datuk Ong Teik Kwang, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab.

Beliau berkata lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu ditahan secara berasingan di negeri itu Rabu lalu.

"Kedua-dua lelaki itu akan tamat reman hari ini dan polis akan meminta mahkamah untuk menyambung tempoh tahanan reman mereka esok bagi membolehkan kami melengkapkan siasatan kes berkenaan.

"Polis juga sedang mengesan beberapa lagi lelaki dipercayai terlibat bagi membantu siasatan dan kami akan melengkapkan kertas siasatan kes itu secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas Kontijen Pulau Pinang, Datuk Yong Lei Choo kepada SAC Abdul Wahid Abdul Ghafar di George Town hari ini.

Yong, 55, dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Rekod Personel) bahagian Perkhidmatan/Perjawatan Jabatan Pengurusan Polis Bukit Aman manakala Abdul Wahid, 59, sebelum ini adalah Timbalan Ketua Cawangan Khas (1) Pulau Pinang.

Dalam insiden pada jam 5 petang 2 Disember lepas, mangsa berusia 47 tahun itu dipukul oleh sekumpulan lelaki di kawasan Tanah Perkuburan Khoo Kongsi, Lebuhraya Thean Teik Air Itam di George Town. Dia mengalami lebam, bengkak serta luka di mata kanan, pipi, hidung, bahagian belakang badan dan kedua-dua belah tangannya.

Ekoran itu, polis menahan seorang lelaki berusia 30-an bagi membantu siasatan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada hari Rabu.

Dalam perkembangan kes tembak membabitkan Ong, yang juga dikenali sebagai Datuk M (Datuk Muda), Abdul Ghafar berkata setakat ini pihaknya merekodkan 23 keterangan daripada saksi, mangsa dan anggota keluarga mangsa terlibat dan akan memanggil beberapa pihak lagi bagi membantu siasatan.

Polis akan melengkapkan kertas siasatan kes dalam tempoh terdekat sebelum menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa raya untuk pendakwaan ke atas pengawal keselamatan berusia 37 tahun yang disambung reman selama tujuh hari lagi bermula semalam.

"Ujian balistik yang dijalankan pada Rabu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu telah dihantar ke bahagian forensik Bukit Aman untuk dianalisis, mungkin mengambil sedikit masa untuk mendapat keputusan ujian tersebut," katanya.

Pada jam 7.15 malam 1 Disember lalu, tiga lelaki, termasuk Ong, maut manakala lima yang lain cedera akibat ditembak seorang lelaki yang dilapor mempunyai masalah mental.

- Bernama

Lihat Komen
ADS