Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN “ASEAN harus dilihat sebagai suatu proses berbanding sebagai sebuah produk.”

Mengawali makalah ini adalah potongan ungkapan optimis di kala rasa pesimis menebal rentetan krisis kemanusiaan yang tidak putus-putus melanda etnik minoriti di Myanmar.

Rohingya bukanlah yang pertama seumpamanya. Rantau ini telah menyaksikan krisis kemanusiaan yang melibatkan warga Kemboja pada dekad 80-an dahulu dan seterusnya, krisis kemanusiaan di Timor Timur (kini Timor Leste) pada akhir dekad 90-an dulu.

Pertamanya, ASEAN dipandang dunia kerana berjaya mengurus krisis pelarian Kemboja dengan jayanya. Keduanya, ASEAN dikecam hebat kerana berdiam lalu menyaksikan penembusan kuasa asing menyelamatkan mereka di Timor Timur. Dua krisis yang menaik dan menjatuhkan pertubuhan serantau yang bakal menginjak usia separuh abad pada tahun hadapan.

Tidak dinafikan, ASEAN boleh dikatakan berjaya kerana bebas daripada sebarang peperangan fizikal di kalangan anggotanya. Namun, harus juga diakui bahawa rantau ini berdepan dengan pelbagai ancaman keselamatan kontemporari yang telah menjadi lumrah di zaman edan ini.

Sebagaimana krisis jerebu, krisis etnik Rohingya yang dipadam daripada Perlembagaan Myanmar oleh junta tentera pada dekad 80-an lalu seperti telah menjadi 'perayaan' tahunan di rantau ini. Krisis ini sekejap timbul, sekejap hilang. Lebih mengharukan apabila krisis sebegini tidak diangkat dan dibincang dalam konteks serantau melibatkan sepuluh buah negara anggota.

ASEAN buntu, negara anggotanya membisu. Prinsip asas pertubuhan untuk tidak campur tangan dalam hal domestik negara anggota telah menjadi jawapan klise.

Prinsip tidak campur tangan

Umum perlu diperjelas bahawa prinsip tidak campur tangan bukanlah dipegang oleh ASEAN sahaja. Pokoknya, prinsip ini adalah asas penting dalam mengemudi hubungan antarabangsa dan diplomatik sejak 400 tahun dahulu melalui Sistem Westphalia. Bersandarkan kepada sistem ini juga, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menguna pakai prinsip ini yang menjadi keutamaan di dalam piagamnya seperti yang jelas tertera dalam Artikel 7(2).

Malahan, prinsip tidak campur tangan ini juga merupakan pelengkap kepada prinsip kedaulatan negara dan prinsip penentuan nasib sendiri (self-determination) yang menjadi asas kenegaraan. Makanya, bukanlah suatu kejanggalan bagi ASEAN mendukung prinsip tidak campur tangan kerana ia sudah menjadi norma di dalam konteks hubungan antarabangsa dan diplomatik.

Dalam konteks ASEAN, prinsip ini adalah perlambangan realiti kepada pertubuhan serantau yang sedia termeterai dalam Deklarasi Bangkok 1967 dengan menginsafi pensejarahan yang panjang di rantau ini akibat campur tangan asing.

Selain ASEAN, Kesatuan Afrika (AU) misalnya turut menitipkan prinsip yang serupa dalam Artikel 4, Perlembagaan Kesatuan Afrika – tidak mencampuri sebarang urusan negara anggotanya.

Pun begitu, AU dilihat mengambil pendekatan progresif dengan menyelitkan keperluan untuk campur tangan dalam situasi yang menyulitkan dan membelakangkan nilai asasi yang diperakui negara-negara anggota seperti jenayah perang dan krisis kemanusiaan.

Lebih menarik, peruntukan artikel ini turut membenarkan negara anggota mencampuri urusan negara anggota yang lain untuk memurnikan keamanan dan keselamatan. Penggubalan peruntukan seumpamanya bukan sekadar progresif, malah turut tampak responsif terhadap ketidaktentuan ancaman keselamatan global.

Pemaknaan semula

Pascamodenisasi dan globalisasi memunculkan realiti baharu yang mencabar tradisi ASEAN. Kesedaran sosial dan perkembangan media menekan ASEAN untuk memulakan usaha pemaknaan semula prinsip tidak campur tangan.

Usaha pemaknaan yang perlu dimulai oleh ASEAN ini harus diimbangi secara kontekstual iaitu hubungan serantau dan rentas ASEAN.

Bagi konteks serantau, pemaknaan semula ini sejajar dengan pembentukan komuniti ASEAN yang baru menginjak setahun usianya. Komuniti ini memerlukan campur tangan khusus melibatkan krisis kemanusiaan yang boleh membawa kesan ke seluruh rantau secara domino.

Meletakkan Rohingya sebagai contoh, penafian hak kewarganegaraan mereka telah menjadi punca lambakan pelarian. Ini bukan sekadar menjejaskan imej ASEAN dan negara anggotanya, malahan memberi kesan kepada keselamatan rentas sempadan dan peningkatan kos mengurus bagi negara anggota yang menerima dan membantu kedatangan mereka.

Pemaknaan semula ini juga membolehkan ASEAN membentuk pasukan pengaman sendiri bagi memasuki zon krisis kemanusiaan seterusnya meredakan keadaan tersebut. Langkah ini diperlukan bagi mengelakkan penembusan kuasa besar yang mengambil kesempatan ke atas rantau ini atas nama kemanusiaan. ASEAN telah menyaksikan sendiri natijah daripada prinsip ini yang menyebabkan campur tangan antarabangsa yang diketuai oleh Australia dalam krisis kemanusiaan melibatkan warga Timor Timur dulu.

Bagi mengimbangi pemaknaan tersebut, ASEAN perlu kekal teguh menghalang kuasa antarabangsa khususnya kuasa besar dunia yang sedang berentap seperti Amerika Syarikat dan China daripada menyelinap masuk ke rantau ini. Dari konteks ini, prinsip tidak campur tangan yang ketat diperlukan oleh ASEAN.

Mendepani krisis

Rentetan prinsip tidak campur tangan jugalah yang menyebabkan ASEAN gagal mendepani krisis serantau dalam semangat keserantauan. Lantas, ASEAN sebagai sebuah institusi serantau gagal membawa negara anggotanya mengorak langkah responsif secara kolektif.

Mengambil krisis Rohingya sebagai contoh, hanya negara yang punyai perkaitan dan jarak yang dekat sahaja bersuara dan menekan kerajaan Myanmar seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Begitu juga apabila rantau ini diselaputi dengan asap jerebu, hanya negara anggota yang terjejas sahaja menemukan penyelesaian, manakala yang lain pula tidak terlibat langsung dalam usaha tersebut.

Walhal, kesannya merebak ke seluruh rantau ini dan pastinya mengundang campur tangan asing sekiranya ASEAN dan negara anggotanya tidak mampu menguruskan secara keserantauan.

Selain keserantauan, pemaknaan semula prinsip tidak campur tangan ini dilihat sebagai langkah merobohkan kecurigaan dalam kalangan negara anggota ASEAN dan menyemarak semangat kebersatuan dalam 600 juta warganya bagi menjayakan visi Komuniti ASEAN.

Krisis Rohingya yang timbul saban tahun dan yang mutakhir ini bukanlah satu-satunya krisis kemanusiaan yang berpusing di rantau ini. ASEAN dan negara anggotanya perlu berjiwa besar bagi mengangkat soal kemanusiaan dan hak-hak mereka tanpa mengira etnik dan agama.

Tuntasnya, ASEAN perlu dimengerti oleh umum sebagai sebuah organisasi antara kerajaan di rantau ini, bukan seperti Kesatuan Eropah (EU). Cara ASEAN (ASEAN Way) yang dipegangnya telah memainkan peranan penting sepanjang separuh abad ini. Prinsip tidak campur tangan sememangnya penghalang bagi ASEAN terutama dalam menghadapi realiti baharu dunia pada hari ini.

Ya, prinsip tidak campur tangan adalah penghalang. Namun begitu, ASEAN tidak akan berubah tanpa kelantangan dan kesediaan daripada negara anggotanya sendiri.
 


MUHAMMAD ARIFF MOHAMAD NIZAM graduan Kajian Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Lihat Komen
ADS