Pensyarah: Golongan lama dijangka terus kuasai PAS
Pemilihan pucuk pimpinan PAS kali ini merupakan kemuncak perjuangan kumpulan yang mahukan perubahan kepimpinan selepas kekalahan teruk parti itu dalam pilihanraya umum lalu, kata seorang pensyarah politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pemilihan pucuk pimpinan PAS kali ini merupakan kemuncak perjuangan kumpulan yang mahukan perubahan kepimpinan selepas kekalahan teruk parti itu dalam pilihanraya umum lalu, kata seorang pensyarah politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), UKM, Datuk Shamsul Amri Baharuddin, kumpulan pembaharuan ini yang mendapat sokongan besar di peringkat akar umbi, kini semakin berani mencabar golongan lama dalam parti itu.
"Selepas pilihanraya umum lalu, suara yang mahukan parti melakukan perubahan terutama dari PAS Selangor, Negeri Sembilan, Perak serta Melaka yang semuanya mengkritik pucuk pimpinan tertinggi kerana gagal menyakini rakyat terhadap parti itu," katanya.
Bagaimanapun, beliau menjangka golongan lama dalam parti itu akan terus menguasai PAS selepas pemilihan pucuk pimpinan parti itu di Kota Bharu hujung minggu ini.
Namun, beliau percaya, lambat laun kumpulan yang mahukan perubahan ini akan menang juga kerana mereka semakin mendapat sokongan, terutama dari kalangan anak muda berpendidikan tinggi.
Menurutnya, terdapat tiga kumpulan utama dalam PAS kumpulan agama bandar yang didokong oleh golongan seperti ahli-ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), agama luar bandar (lepasan sekolah pondok) dan golongan korporat (usahawan dan profesional).
Oleh itu, katanya, pemilihan PAS kali ini adalah persaingan golongan lama yang mahukan parti itu kekal seperti sekarang dengan golongan pembaharuan yang mahu PAS lebih terbuka supaya diterima rakyat terbanyak.
Restu Tok Guru
Katanya, Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Ketua Dewan Ulama, Harun Taib; Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Abdul Razak dan beberapa kelompok dari Pemuda dan Muslimat tergolong dalam kumpulan yang tidak mahukan perubahan.
Manakala pemimpin muda seperti Setiausaha Agung, Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Datuk Hassan Ali serta Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaafar adalah kumpulan pembaharuan PAS, katanya.
Dalam muktamar PAS kali ini,
perebutan sengit
berlaku bagi jawatan timbalan presiden yang membabitkan pertandingan tiga penjuru antara penyandang jawatan Senator Hasan Shukri; Bendahari PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Nasharuddin.
"PAS sedang dicengkam oleh kumpulan lama yang diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nik Aziz dengan mengeluarkan fatwa demi fatwa untuk menentukan dasar parti," kata Shamsul Amri.
Sejak sekian lama, katanya, kumpulan tok guru ini menjadi penentu dasar dalam PAS dan mereka yang mahu mendapat tempat di dalam parti itu perlu mendapat `restu' mereka.
Beliau berkata, apabila Nik Aziz mahukan Siti Mariah Mahmud menjadi naib presiden parti, tiada seorangpun berani menentangnya, kerana jika berbuat demikian, masa depan mereka akan terjejas.
Bagaimanapun, katanya kumpulan pembaharuan ini semakin berani mencabar golongan lama dan mereka pula mendapat sokongan besar dari peringkat akar umbi.
"Begitu banyak calon dari bukan golongan ulama kali ini menjadi bukti bahawa kumpulan pembaharuan mahu menempatkan diri mereka dalam kepimpinan tertinggi parti," katanya lagi.

