Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

KINIGUIDE Pertikaian antara masyarakat Orang Asli dan pembalak di Gua Musang sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya tetapi ia telah sampai kemuncaknya awal bulan ini apabila 54 Orang Asli ditahan kerana membuat sekatan.

Tidak goyah dengan insiden tersebut, masyarakat Orang Asli membina semula sekatan itu selepas dirobohkan oleh pihak berkuasa dan mereka bertekad untuk menyekat aktiviti pembalakan di kawasan yang apa mereka dakwa tanah nenek moyang mereka.

Malaysiakini menyoroti perkembangan pertikaian tersebut dan mengapa ia terjadi sedemikian.

Siapakah Orang Asli di Gua Musang?

Masyarakat Orang Asli yang terlibat dalam pertikaian dengan pembalak di Gua Musang adalah dari suku kaum Temiar.

Suku kaum Temiar, yang berjumlah kira-kira 20,000 orang, adalah satu daripada 18 kumpulan Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Sebilangan masyarakat Temiar telah menerima cara kehidupan bandar tetapi sebahagian besarnya masih tinggal di dalam hutan simpan yang meliputi sempadan Perak, Pahang dan Kelantan.

Bagi yang masih menjalani kehidupan dalam hutan simpan itu, mereka sangat bergantung kepada persekitaran semula jadi untuk mencari buah-buahan dan memburu haiwan.

Apa yang berlaku dalam hutan simpan kekal?

Bertentangan dengan kepercayaan popular, pembalakan dibenarkan di hutan simpan.

Jabatan Perhutanan menetapkan had tahunan sebanyak mana negeri-negeri boleh membalak. Pokok yang ditebang perlu diganti dengan pokok baru.

Saiz hutan simpanan kekal di Kelantan kekal tidak banyak berubah, iaitu 623.849 hektar sejak 2008.

Adakah pembalakan menjadi semakin buruk?

Menurut laporan tahunan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, jumlah hasil balak dari hutan simpan kekal di Kelantan, merosot.

Jumlah yang dihasilkan dari dalam hutan simpan kekal Kelantan adalah 1.44 juta meter padu dan ini secara beransur-ansur berkurangan kepada 887.666 meter padu pada 2015.

Data ini tidak mengambil kira kemungkinan pembalakan haram.

Jadi mengapa masyarakat Temiar mengadu?

Pengeluaran kayu balak yang berkurangan tidak bermakna aktiviti pembalakan telah reda.

Ia boleh menjadi petunjuk bahawa balak berkualiti yang ada telah merosot dan pembalak beralih ke kawasan yang mereka tidak akan masuk sebelum ini, menunjukkan bahawa kerosakan adalah bertambah.

Imej satelit menonjolkan kerosakan bertambah dengan membandingkan data dari tahun 1984 dan 2016.

Malaysiakini sebelum ini mengetengahkan aduan bahawa aktiviti pembalakan itu telah mencemar sumber air dan menghalang mereka mendapatkan bekalan ikan air tawar.

Bilangan pokok semula jadi yang semakin berkurangan bermakna herba yang digunakan untuk perubatan tradisional, semakin sukar untuk diperolehi.

Bagaimana pula dengan peraturan pokok yang ditebang perlu diganti?

Ia digantikan dengan tanaman komersial, khususnya, Timber Latex Clone (TLC). Ini dibenarkan di bawah peraturan perhutanan Malaysia.

TLC memberikan pendapatan pengantara daripada menoreh dan kemudian dijadikan sebagai kayu getah.

Menurut semakan separuh penggal pertama Kelantan bagi rancangan pengurusan hutan) 2006-2015, TLC menyumbang 20 peratus kepada pengeluaran hutan.

TLC, tidak seperti pokok buah-buahan semula jadi, bukanlah sumber makanan bagi masyarakat Temiar.

Tetapi bukankah ladang komersial menyediakan peluang pekerjaan?

Mengambil dari hutan semula jadi, menggantikannya dengan tanaman komersial dan menuntut mereka melakukan pekerjaan sembilan-hingga-lima, akan mengganggu cara hidup memburu masyarakat Temiar.

Ia umpama penghuni bandar yang sudah biasanya dengan makanan segera. diminta memburu dan mencari makanan di dalam hutan.

Mengapa perlunya untuk membalak begitu banyak di Kelantan?

Pembalakan merupakan sumber utama pendapatan bagi kerajaan Kelantan.

Pendapatan dari perhutanan merupakan lebih daripada satu perempat daripada pendapatan negeri dalam lima daripada lapan belanjawan sejak 2010.

Kerajaan Kelantan menjangka hasil perhutanan berada pada angka RM177.2 juta pada tahun 2017, atau 27.81 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan.

 Apakah yang masyarakat Temiar lakukan mengenainya?

Masyarakat Temiar di Gua Musang telah mengadakan sekatan untuk menghalang aktiviti pembalakan sejak 2012 tetapi mereka biasanya berundur apabila pihak berkuasa atau pembalak merobohkannya.

Sebagai contoh, kira-kira 300 Orang Asli membuat dua sekatan di Kampung Parit dan Kampung Lambok pada 4 Januari 2012 tetapi usaha itu ditinggalkan selepas pihak berkuasa menahan 13 Orang Asli dan membakar sekatan itu 24 hari kemudiannya.

Bagaimanapun, sekatan itu menjadi lebih kerap pada tahun ini dan masyarakat Temiar itu enggan mengalah dalam siri terbaru sekatan itu diadakan.

Sekatan pertama bermula pada 26 September tetapi telah dirobohkan oleh kumpulan lelaki yang tidak dikenali dua hari kemudiannya.

Sekatan itu tercetus apabila kawasan pembalakan baru diluluskan oleh kerajaan negeri di mana masyarakat Temiar tinggal.

Pada bulan Oktober, masyarakat Temiar mendirikan tiga sekatan baru, selama lebih sebulan sebelum pihak berkuasa bertindak merobohkannya pada 29 November dan 1 Disember, dan dalam proses itu, 54 ditahan.

Pada 10 Disember lalu, Orang Asli mula membina semula ketiga-tiga sekatan dan merancang untuk mempertahankannya mulai hari ini.

Apakah respons kerajaan Kelantan?

Pada 3 Disember, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob mengumumkan 973 hektar tanah di Pos Gob akan dijadikan kawasan rizab Orang Asli, tetapi ia masih dalam proses untuk diwartakan.

Beliau juga berkata satu lagi kawasan hutan simpan kekal seluas 15,0000 akan diperuntukkan untuk masyarakat Orang Asli untuk mencari makanan.

Bagaimanapun, setiausaha Jaringan Orang Asli Kelantan, Mustapa Along mengadu bahawa kerajaan Kelantan mengumumkan langkah-langkah tersebut tanpa berunding dengan masyarakat setempat.

Kini Guide ini disediakan oleh Yeong Hui Min

[Baca berita penuh]

 

 

Lihat Komen
ADS