Seorang bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat menjual pasir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas tuduhan menyalah guna wang syarikat dan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram, dari tempoh November 2014 hingga Mac 2015.

Rizam Sahar, 36, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut kertas pertuduhan, Rizam didakwa memindahkan wang berjumlah RM105,000 dari akaun bank miliknya melalui dua keping cek ke dalam akaun Public Bank RS Star Contractors & Construction Sdn Bhd yang merupakan hasil aktiviti haram di Public Islamic Bank (M) Bhd Cawangan Ulu Tiram dekat Johor Bahru antara 29 Disember 2014 dan 2 Februari 2015.

Tertuduh didapati membuat kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.

Rizam juga didakwa menyalahgunakan harta syarikat melibatkan wang sejumlah RM1,249,286 hasil royalti pengeluaran pasir milik Syarikat Dinamik Gabungan Wilayah JB Sdn Bhd melalui akaun Public Islamic Bank miliknya di tempat yang
sama, antara November 2014 hingga Mac 2015.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Mohd Fauzi kemudian menetapkan wang jaminan RM50,000 dan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan. Tarikh sebutan semula pada 1 Februari 2017.

Beliau juga mengarahkan pasport tertuduh ditahan.

Kes dibawa oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Khazrin Hafiz Halil manakala tertuduh diwakili peguambela R. Subash.

- Bernama