Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mediu: Penahanan dua penuntut tiada kaitan dengan silibus
Diterbitkan:  Dec 22, 2016 6:06 AM
Dikemaskini: 10:21 PM

Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) di Shah Alam menegaskan penahanan dua penuntut antarabangsanya baru-baru ini kerana disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan, bukan hasil pengajaran dan pembelajaran di institusi swasta itu.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Luarnya, Datuk Dr Ab Ghani Mohamad berkata kes itu adalah yang pertama kerana sejak ia ditubuhkan pada 2007, Mediu telah menghasilkan seramai 2,011 graduan tanpa sebarang rekod jenayah.

"Semua silibus kita diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)... Mediu tidak pernah sesekali mengamalkan atau mengajar sebarang bentuk ekstremisme dan ajaran sesat kepada penuntut kami... pentadbiran, pensyarah dan penuntut juga bersih daripada rekod jenayah.

"Malah, aktiviti penuntut dalam kampus juga sering diberi perhatian penuh oleh kakitangan dan pensyarah. Penahanan dua penuntut Mediu ini tidak dijangka kerana menurut pensyarah mereka, kedua-duanya tidak menunjukkan sebarang perilaku mencurigakan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Shah Alam semalam.

Beliau berkata kedua-dua penuntut antarabangsa yang ditahan itu masing-masing adalah penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Fekah dan Unsur Fekah) serta penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Al-Quran.

Menurutnya, keluarga kedua-dua penuntut lelaki itu telah dimaklumkan mengenai penahanan mereka pada 3 November lepas oleh pihak berkuasa malah Mediu difahamkan mereka juga telah dihantar pulang ke negara masing-masing.

Susulan kes berkenaan, Ab Ghani berkata pihaknya kini menambah baik saringan kemasukan penuntut baru dengan meminta mereka memaklumkan di dalam borang permohonan maklumat mengenai penaja pengajian jika ada, tempat dilawati tiga bulan sebelum mendaftar selain perlu mengakui sama ada pernah terlibat dalam sebarang kumpulan keganasan.

Katanya, maklumat yang diberikan pemohon baru semasa mendaftar akan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi mengelak berlakunya penipuan selain mereka perlu menandatangani surat aku janji untuk patuh kepada undang-undang Malaysia dan Mediu.

"Kami amat teliti dalam memilih penuntut tidak kira antarabangsa atau tempatan... setakat ini, sebanyak 1,280 penuntut dalam kampus di sini terdiri daripada 43 negara yang kebanyakannya warga Nigeria, Bangladesh dan Indonesia.

"Walaupun ibu bapa dan waris penuntut agak terkilan dengan pelbagai dakwaan terhadap Mediu kebelakangan ini, namun mereka tahu apa yang diajar di sini tidak menyalahi undang-undang," katanya.

Kelmarin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan tujuh lelaki termasuk empat warga asing yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan ditahan di beberapa lokasi dalam negara antara 3 November hingga 16 Disember lepas.

Katanya, kesemua yang ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas dalam operasi di sekitar Johor, Sabah, Melaka dan Selangor berumur antara 20 hingga 35 tahun dan dua daripadanya adalah penuntut Mediu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS