Ahli Parlimen Lembah Pantai dari PKR, Nurul Izzah Anwar mahu kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen mengenai pengangkutan awam.

Ia bertujuan untuk pengangkutan awam terus diberi keutamaan, ujar beliau, ekoran pelancaran Fasa 1 Transit Aliran Massa (MRT) antara Semantan dan Sungai Buloh, baru-baru ini.

"Ia tidak sepatutnya berhenti di situ. Kami mahu keutamaan diberikan kepada pengangkutan awam darat supaya rakyat boleh mendapat manfaat daripadanya," jelas Nurul Izzah kepada pemberita.

Beliau berkata demikian di stesen MRT Sungai Buloh selepas menaiki MRT dari Taman Tun Dr Ismail.

Nurul Izzah turut berharap ahli Parlimen lain yang telah menaiki MRT seperti Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed akan menyokong seruan beliau untuk penubuhan jawatankuasa berkenaan.

Walaupun berpuas hati dan gembira dengan perkhidmatan MRT hari ini, katanya, beliau lebih prihatin tentang penjimatan kos perkhidmatan itu ke atas pengguna.

"Kami gembira kami berada di sini (di MRT). Jelas sekali, kami menyokong pengangkutan awam.

"Kami juga ingin memastikannya menawarkan kecekapan kos," tambahnya.

Ahli Parlimen Batu dari PKR Tian Chua yang turut hadir mengucapkan terima kasih kepada kakitangan MRT atas layanan mesra dan tinjauan kemudahan yang disediakan.

[Baca berita penuh]