Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti jualan berterusan dalam kebanyakan kaunter kewangan, perdagangan dan perkhidmatan serta yang bermodal kecil, kata peniaga.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup susut 6.93 mata kepada 1,623.20 mata berbanding 1,629.59 pada Rabu selepas berlegar antara 1,622.59 dan 1,629.90 sepanjang sesi dagangan.

Sewaktu dibuka, indeks berkenaan susut 0.56 mata kepada 1,629.03.

Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 514 berbanding 215 dengan 337 kaunter tidak berubah, 693 tidak didagangkan manakala 26 lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.05 bilion saham bernilai RM1.19 bilion daripada 1.15 bilion saham bernilai RM1.56 bilion pada Rabu.

Seorang peniaga berkata sentimen pelabur lemah berikutan kekurangan petunjuk baharu serta pengaruh faktor luaran biarpun harga minyak mentah kembali pulih.

"Para pelabur ternyata masih berhati-hati dan akan memantau data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat bagi suku ketiga yang akan diumumkan hari ini dalam usaha mendapatkan petunjuk sebelum perayaan Krismas," katanya.

Minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, didagangkan pada harga lebih tinggi iaitu 0.22 peratus lebih tinggi kepada US$54.58 setong.

Saham berwajaran tinggi menyaksikan Maybank susut 11 sen kepada RM7.76, TNB merosot dua sen kepada RM13.74, Public Bank turun enam sen kepada RM19.68 manakala Petronas Chemicals rugi satu sen kepada RM6.91.

Bagi saham-saham aktif, Hibiscus Petroleum turun dua sen kepada 36.5 sen, Borneo Oil dan Trive Property pula masing-masing tidak berubah pada 16.5 sen dan sembilan sen manakala MQ Technology jatuh satu sen kepada 5.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 49.76 mata kepada 11,365.02, Indeks FBMT 100 susut 47.60 mata kepada 11,087.25 manakala FBM 70 berkurangan 70.86 mata kepada 13,010.19.

Indeks FBM Emas Shariah pula turun 35.59 mata kepada 11,950.82 manakala FBM Ace susut 71.65 mata kepada 4,737.90.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan berkurangan 72.23 mata kepada 14,196.01, Indeks Perusahaan merosot 13.29 mata kepada 3,075.38 namun Indeks Perladangan menokok 13.29 mata kepada 7,717.07.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 709.73 juta unit bernilai RM1.13 bilion daripada 821.26 juta unit bernilai RM1.49 bilion pada Rabu.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 177.07 juta saham bernilai RM23.94 juta daripada 171.05 juta saham bernilai RM29.93 juta, sebelum ini.

Waran meningkat kepada 166.58 juta unit bernilai RM35.14 juta daripada 164.98 juta unit bernilai RM35.52 juta, pada Rabu.

Barangan pengguna menyumbang 79.18 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (185.36 juta), pembinaan (46.65 juta), perdagangan dan perkhidmatan (251.68 juta), teknologi (44.56 juta), infrastruktur (8.17 juta), SPAC (218,000), kewangan (45.44 juta), hotelan (137,300), hartanah (29.21 juta), perladangan (10.59 juta), perlombongan (sifar), REIT (8.47 juta) manakala dana tertutup (7,000).

- Bernama