Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketika diera pentadbirannya, beliau tidak bersetuju sekiranya mahasiswa turun berdemostrasi, sebaliknya, perlu fokus kepada pelajaran.

Ia kerana, katanya, mahasiswa dibiayai oleh rakyat serta pada ketika itu pihak berkuasa masih berfungsi dengan baik.

"Kita tak setuju dengan demonstrasi oleh penuntut kerana pada masa itu kita dapati penuntut semua dibiayai oleh rakyat terutamanya penuntut Melayu.

"Mereka (rakyat) beri wang untuk penuntut menuntut ilmu kalau tidak tuntut ilmu maka sia-sia wang sebab itu," katanya.

Tun Mahathir berkata demikian dalam forum Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 di pejabat Malaysiakini, malam ini.

Jelasnya, jurang pendidikan antara bangsa Melayu dengan yang lain agak ketinggalan terkebelakang menyebabkan beliau menolak demonstrasi jalanan di kalangan pelajar.

Selain itu, Mahathir berkata, pada ketika itu, pihak berkuasa masih boleh terbuka untuk menerima teguran dari mahasiswa namun sekarang tidak lagi.

"(Zaman itu) kita dapati saluran undang-undang masih terbuka sebab masa itu protest tak perlu diadakan sehingga mereka (mahasiswa) lulus lepas tu nak protest lah.

"(Tapi) hari ini buat laporan kena tangkap bersuara kena tangkap. Wakil rakyat sebelah kerajaan sudah jadi bisu.

"Kalau waktu ini demonstrasi BERSIH memang ada sebab tak ada saluran lain... bila tak ada saluran lain maka wajar saluran berdemonstrasi sama oleh penuntut atau orang ramai,"katanya.

Forum itu turut disertai oleh aktivis siswa Anis Syafiqah Md Yusof yang digantung pengajiannya selama satu semester oleh Universiti Malaya (UM) pada 15 Disember lalu.

Untuk makluman, Auku diperkenalkan ketika Mahathir berkhidmat sebagai menteri pelajaran.

Sementara itu, ketika sesi soal jawab bersama mahasiswa, beliau ditanya apakah akan bersama-sama para penuntut dalam menolak Auku, namun Mahathir tidak menjawab secara langsung.

Sebaliknya, beliau berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih lagi belum menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kita (BERSATU) belum menang lagi. Kalau kita menang kita dengar suara Anis, penuntut lain kerana kita nak memenuhi kehendak rakyat keseluruhan termasuk penuntut.

“Saya dapati saya sekarang bukan sokong Auku, saya sokong Anis bermaksud saya rasa Auku tak ikut tafsiran mahkamah Auku tapi bukan untuk itu tapi kita tahu saluran lain telah tutup,” katanya.

Lihat Komen
ADS