Majlis Perubatan Malaysia (MMC) melahirkan kesal terhadap kesulitan yang dialami semasa proses peralihan daripada Peperiksaan Kelayakan Perubatan (MQE) kepada Peperiksaan bagi Pendaftaran Sementara (EPR), kata Presidennya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah .

Merujuk kepada artikel yang disiarkan dalam portal (Malaysiakini) bertajuk "Surat kepada MMC daripada doktor yang menganggur", beliau berkata perubahan baru-baru ini, adalah perlu melalui peraturan di bawah Akta Perubatan 1971.

Dr Noor Hisham yang juga ketua pengarah kesihatan berkata sebelum ini, siswazah perubatan yang memegang ijazah perubatan asas daripada institusi yang tidak disenarai di bawah Jadual Kedua akta tersebut, dikehendaki menduduki peperiksaan dan lulus MQE.

Bagaimanapun, sejak penggubalan Peraturan-peraturan Perubatan (Menetapkan Peperiksaan bagi Pendaftaran Sementara) 2015 di bawah Akta Perubatan 1971, MMC diberi tanggungjawab untuk menjadi "badan peperiksaan" dan mengendalikan EPR.

"Malang sekali penulis melalui masalah ini semasa fasa peralihan apabila MMC menyusun semula peperiksaan MQE dan EPR, yang menimbulkan salah faham ini kerana penulis berpendapat beliau tidak dimaklumkan secara jelas oleh MMC," kata beliau.

Dr Noor Hisham berkata, banyak kerja-kerja dan persediaan perlu dijalankan untuk mengadakan peperiksaan penting seperti ini.

Beliau berkata bagi peperiksaan EPR, yang dijadualkan diadakan dua kali dalam setahun, calon dikehendaki membayar yuran sebanyak RM1,000 untuk pendaftaran dan RM3,000 bagi setiap komponen teori dan komponen klinikal peperiksaan.

"Kos ini meliputi persediaan antara lain untuk mencetak kertas peperiksaan dan penjalanan peperiksaan, melibatkan elaun pengawas peperiksaan dan pemeriksa, logistik, elaun (komponen klinikal), venue untuk peperiksaan teori dan klinikal," katanya.

Dr Noor Hisham berkata EPR yang pertama dijalankan dengan jayanya pada 28 Julai 2016 di MMC yang menyaksikan sejumlah 10 calon menduduki peperiksaan.

Beliau berkata peperiksaan EPR seterusnya bagi kertas teori dijadual diadakan pada 30 Mac tahun depan dan 28 September tahun depan dan diikuti masing-masing peperiksaan klinikal sebulan kemudian.

- Bernama