Aktivis hak OKU kurang puas hati akses kemudahan di MRT
Beberapa aktivis hak-hak orang kurang upaya kurang puas hati dengan akses kepada kemudahan untuk golongan itu dalam perkhidmatan MRT yang baru dibuka.
Presiden NGO Petpositive, Anthony Thanasayan berkata kemudahan MRT bagi golongan itu lebih baik sedikit berbanding kemudahan rel lain di Lembah Klang, namun keadaannya masih mengecewakan.
Secara keseluruhan, katanya, beliau akan memberi MRT rating 70 daripada 100 mata dan menambah ia tidak cukup baik apabila memikirkan untuk menggunakannya dalam keadaannya sekarang.
"Saya fikir, selepas semua ceramah dan sesi yang kami terima, dan kesedaran yang kami telah wujudkan dalam tempoh lima, 10, malah 15 atau 20 tahun yang lalu, mereka tidak sepatutnya bergelut dengan isu-isu asas seperti itu.
"Ia jelas menunjukkan bahawa mereka tak buat kerja rumah mereka. Ia amat menonjol sekali. Mereka fikir jika mereka ikut sesuatu dari buku, ianya okay.
"Sepatutnya, mereka panggil orang ramai datang ke sini untuk menguji kemudahan itu dan bersedia untuk membuat perubahan di mana perlu," Anthony memberitahu Malaysiakini pada hari Rabu.
Sebelum itu, beliau dan presiden Pusat Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia (ILTC), Francis Siva dan setiausaha ILTC, Gurdip Kaur menaiki MRT dari stesen Taman Tun Dr Ismail (TTDI) ke Sungai Buloh dan berpatah balik dan singgah sebentar di stesen MRT Kota Damansara.
Mereka meninjau sama ada stesen dan keretapi MRT mudah diakses oleh mereka yang kurang upaya.

