Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kalau BR1M rasuah, air percuma S'gor bagaimana'
Diterbitkan:  Dec 26, 2016 1:36 PM
Dikemaskini: 5:42 AM

Portal pro-Umno menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad telah jelas hilang rasional dan logik manusiawi apabila mengatakan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebagai rasuah.

"Jika BR1M adalah rasuah, maka skim air percuma 20 meter padu untuk setiap kediaman di Selangor adalah 'bapa segala rasuah politik'. Jutawan dan orang miskin mendapat air percuma dari kerajaan negeri. Apakah tujuan pemberian air percuma ini jika bukan untuk rasuah pilihan raya," tanya portal mykmu.net.

Tidak seperti BR1M yang mempunyai motif membantu rakyat berpendapatan rendah menangani kos sara hidup, katanya, pemberian air percuma ini langsung tiada asas pengurusan ekonomi dan sosial oleh kerajaan.

Ujarnya, malah jika BR1M dianggap rasuah, apa pula boleh dianggap oleh Mahathir apabila pada zaman beliau telah memberi susbidi baja dan padi kepada pesawah secara tetap tanpa mengambil kira mereka kaya atau miskin.

"Tidak cukup itu, beg-beg baja subsidi di Kelantan dicop dengan logo Barisan Nasional," jelasnya lagi.

Sebelum ini, Datuk Seri Salleh Said Keruak turut mengungkit pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu telah memperkenalkan Wang Ehsan untuk rakyat Terengganu.

Wang Ehsan yang merupakan bayaran oleh kerajaan Persekutuan sebagai ganti kepada royalti minyak digunakan oleh kerajaan negeri untuk mengagihkan bantuan, sama seperti BR1M mulai dari tahun 2000, kata Salleh.

"Selepas melaksanakan program bantuan Wang Ehsan dan Terengganu pada tahun 2000, Mahathir kini menukar pendirian dan mengutuk BR1M," kata Salleh dalam kenyataan.

Semalam, Mahathir mengingatkan rakyat di negara ini bahawa pemberian BR1M merupakan rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Dakwanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menggunakan BR1M bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Ketika pemerintahan saya, saya tak beri duit tetapi banyak kebaikan yang kerajaan dahulu berikan melalui sistem jalan raya yang baik, peruntukan untuk sekolah mencukupi, anak-anak diberi biasiswa dan banyak lagi.

“Tetapi sekarang rakyat lebih menghargai duit BR1M?,” katanya.

Mengulas lanjut, portal itu berkata, BR1M ialah mekanisme kerajaan dalam membantu rakyat berpendapatan rendah berdepan dengan kenaikan kos sara hidup akibat rasionalisasi subsidi dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Justeru, ia bukan satu pengenalan polisi gula-gula rakyat seperti yang didakwa oleh Mahathir kerana mempunyai hala tuju dan matlamat yang jelas selain berdasarkan kepentingan rakyat, katanya.

"Mahathir perlu faham bahawa zaman sudah berubah. Kaedah-kaedah pentadbiran beliau yang bagus dan relevan pada zamannya belum tentu berkesan pada hari ini," tambah portal itu.

Lihat Komen
ADS