Terjemahan Mereka datang dan menunggu tetapi akhirnya mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong, selepas hasrat mereka untuk menemui Dr Vincent Lim, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak kesampaian.

Enam ahli jawatankuasa anti-insinerator di Semenyih/Broga, datang ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini dengan harapan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai projek tersebut.

"Kami tidak dapat menemui Lim atau mana-mana pegawai dari pejabat Perdana Menteri," kata seorang ahli jawatankuasa tersebut, Lee Kim Sin, ketika dihubungi.

Katanya, jawatankuasa tersebut telah menulis surat kepada Lim kira-kira dua bulan lalu untuk mendapatkan temujanji dengan beliau. Walaupun tidak menerima sebarang jawapan, mereka tetap datang pagi ini, bagi mencuba nasib untuk menemui Lim.

Keenam-enam ahli jawatankuasa tersebut, termasuk pengerusinya Dr Zulkefly Mohamad Omar, menunggu di pejabat Perdana Menteri selama 30 minit.

Mereka kemudiannya dimaklumkan oleh kakitangan keselamatan di situ bahawa Lim tiada di pejabat kerana mengikuti lawatan Abdullah ke Johor hari ini.

Pembantu peribadinya juga mengesahkan tiada temujanji ditetapkan untuk Lim menemui jawatankuasa tersebut hari ini.

Februari lalu, Lim telah menulis surat kepada rakan sejawatannya Wee Jeck Seng di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, untuk mendapatkan penjelasan mengenai enam perkara yang dibangkitkan dalam memorandum yang dikemukakan oleh penduduk terbabit kepada Abdullah.

Jawatankuasa tersebut juga telah menghantar memorandum kepada Abdullah Januari lalu, meminta beliau campurtangan untuk membatalkan projek tersebut kerana bimbang ia akan menjejaskan kesihatan penduduk sekitarnya serta kesannya terhadap alam sekitar.