Ringgit dbuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), hari ini, berikutan harga minyak mentah yang lebih lemah pada awal dagangan, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan susut kepada 4.4780/4820 berbanding dolar AS daripada penutup Isnin 4.4760/4810.

Seorang peniaga berkata, penanda aras harga minyak mentah Brent mempunyai trajektori menurun sedikit pada AS$55.93 setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) AS lebih rendah pada AS$53.76 setong.

Dalam keadaan semasa harga minyak mentah, RHB Research dalam nota penyelidikan menggesa peniaga untuk mengekalkan kedudukan untuk jangka agak panjang berikutan kekuatan pasaran kekal menggalakkan.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0904/0949 daripada 3.0895/0946 pada penutupan Isnin, mengukuh berbanding yen kepada 3.8062/8112 daripada 3.8168/8214 dan menurun berbanding pound British kepada 5.5017/5079 daripada 5.4921/4995.

Bagaimanapun, unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6853/6900 daripada 4.6770/6831.

- Bernama