Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ramai pemerhati politik melihat tahun 2017 merupakan tahun pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan berlangsung.

Ini merupakan kali kedua mahasiswa akan menghadapi PRU dalam keadaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) telah membenarkan mahasiswa terlibat secara langsung dengan politik di luar kampus.

Mahasiswa menunggu hampir 37 tahun untuk AUKU yang menyekat keterlibatan mahasiswa dengan politik ini dipinda.

Pada PRU 13, kita telah melihat ketelibatan secara langsung mahasiswa dalam pesta demokrasi negara, tapi masih ramai dalam kalangan mahasiswa yang beraksi dengan keadaan ‘malu-malu’ ketika itu.

Ada beberapa nama yang kita semua tidak boleh lupakan iaitu Fahmi Zainol, Safwan Anang dan Adam Adli apabila berbicara tentang kevokalan mahasiswa mengkritik kerajaan dan telah menjadi faktor pendesak dalam perjuangan ‘melonggarkan’ AUKU.

Malangnya, kebanyakkan anggota masyarakat termasuk golongan ahli akademik sendiri masih tidak menyedari hakikat ini sehingga sering berlaku prejudis kepada mahasiswa yang terlibat dengan politik luar.

Sejarah silam

Rujukan terbaik keterlibatan mahasiswa dan PRU hadir sekitar tahun 1960-an iaitu pada PRU Malaysia yang ketiga. Ketika itu mahasiswa bebas untuk terlibat secara aktif dalam politik nasional kerana tidak ada undang-undang yang melarang.

Sudut 'speaker’s corner' yang ketika itu berfungsi untuk membawakan isu-isu penting pada peringkat nasional dan antarabangsa telah memberi kesedaran yang besar kepada mahasiswa.

Gerakan mahasiswa ketika itu kebanyakkannya menerima elemen sosialis sehingga wujudnya kesedaran tentang isu-isu yang sedang berlaku di sekeliling mereka.

Pada PRU ketiga ini, mahasiswa telah bersedia untuk bertanding melalui Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dan mereka telah mengeluarkan manifesto mereka sendiri yang digelar Manifesto Mahasiswa.

Manifesto ini bebas daripada sifat perkauman, memperjuangankan hak-hak demokrasi, reformasi pelajaran, kesihatan, gaji minimum, reformasi pertanian dan dasar luar.

Sejarah ini membuktikan bahawa mahasiswa mampu untuk menawarkan idea dan solusi kepada permasalahan yang sedang menimpa negara.

Keterlibatan mahasiswa dalam kempen pilihanraya 1969 telah menyebabkan Parti Perikatan mengalami kemerosotan sokongan.

Keaktifan mahasiswa dalam pentas politik nasional telah melahirkan rasa kurang senang kepada golongan establishment sehingga membawa ke penggubalan AUKU pada 1971.

Sejak AUKU diperkenalkan, kita dapat melihat kemerosotan yang jelas dalam aktivisma mahasiswa terutamanya berpatipitasi secara langsung dalam pentang politik.

Mahasiswa sebagai bajut atau jentera?

Saya berpandangan sebelum AUKU dipinda pada tahun 2012, sudah terdapat ketidak adilan dalam terma ‘keterlibatan’ mahasiswa dalam politik. Saya sering melihat mahasiswa yang anti-establishment sahaja yang sering dibicarakan tapi mahasiswa yang pro-establishment seperti menjadi anak emas kepada universiti.

Apabila AUKU dipinda pada tahun 2012, sepertinya hal itu masih terjadi lagi, masih ada mahasiswa yang dibicarakan kerana partipitasi politik di luar kampus, seperti saudari Anis Syafiqah dan kawan-kawan dari Universiti Malaya.

Walaupun saya sedar mereka didakwa atas tuduhan perhimpunan haram, tapi pada saya kes seperti itu perlu diserahkan sahaja kepada pihak PDRM dan mahkamah awam.

Kebanyakkan mahasiswa sudah mencapai umur 21 tahun, dan ini bermakna mereka sudah layak untuk mengundi. Keterlibatan mahasiswa dalam politik nasional tidak boleh dikekang lagi.

Mahasiswa juga seharusnya sudah mula sedar tentang ruang yang dibuka ini dan perlu mula mencari jalan untuk mengembalikan zaman emas mahasiswa.

Tapi 37 tahun lamanya dikurung AUKU telah menjadikan mahasiswa seperti haiwan yang terlatih, apabila kurungan itu dibuka, haiwan terlatih itu masih mahu berada di dalam kerana telah selesa diberi makan dan minum.

Menjelang PRU14 ini, saya sangat khuatir kebanyakkan mahasiswa yang ada akan dibadutkan oleh parti-parti politik yang akan bertanding. Mereka akan diberikan baju, disediakan bas, makanan dan sampul yang berisi wang untuk menghadiri ceramah politik.

Tugas meraka adalah sebagai ‘crowd’ untuk mengelakkan ceramah politik itu dihadiri lebih ramai kerusi daripada manusia. Mereka akan diminta bertepuk tangan, bersorak dan memakai baju yang mempunyai logo parti yang memberikan mereka ‘rasuah-rasuah’ tadi.

Cukup memalukan apabila ada mahasiswa sanggup menggadaikan pendirian hanya kerana beberapa ringgit dan sehelai baju.

Sekiranya mahasiswa ingin terlibat dalam pentas politik nasional, seharusnya mereka punyai pengetahuan yang jelas dengan apa yang mereka sedang ikuti dan akan lakukan. Mereka tidak boleh hanya mengikut secara membuta-tuli, kerana itu juga tidak kurang seperti badut yang saya sebutkan sebelum ini.

Biarlah kehadiran mahasiswa di dalam parti yang dia sertai itu memberi kesegaran dan nafas baru dalam usaha untuk memenangi hati rakyat.

Bagi mahasiswa yang tidak terlibat secara langsung dengan parti politik, mereka harus memberi maklumat yang tepat kepada para pengundi berkenaan calon-calon/parti- parti yang terbaik untuk dipilih.

Pastinya saranan mereka harus ditemani oleh hujah yang rasional dan mudah diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

PRU14 : Ruang kepada mahasiswa

Secara jujur, sekali-sekala saya muak dengan telatah sesetengah wakil rakyat yang berbahas di Parlimen.

Tempat di mana dasar dan undang-undang negara dibahaskan sering bertukar menjadi seperti ‘pasar malam’ akibat pergaduhan yang remeh diantan wakil rakyat yang ada.

Saya fikir sudah masanya untuk mahasiswa diberi peluang yang lebih banyak untuk bertanding merebut kerusi parlimen.

Hal ini bukan sesuatu yang asing di negara maju, dan keberadaan mahasiswa pasti akan menjadikan perbahasan lebih dinamik dan menyeluruh terutamanya apabila membahaskan dasar berkaitan anak muda atau pendidikan.

Istilah Baby of the House merujuk kepada ahli parlimen yang paling muda. Setahu saya, ahli Parlimen yang paling muda yang kita pernah ada adalah Dato’ Seri Najib Razak, yang memasuki Parlimen ketika berusia 22 tahun pada tahun 1976.

Kita perlukan lebih ramai golongan muda pada PRU yang akan datang. Mahasiswa sudah mampu untuk berbahas, membawa idea dan kritik-saran kepada sistem pemerintahan negara.

Kesimpulan

Saya melihat kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang harus memberikan ruang kepada mahasiswa untuk berpartipitasi dalam pentas politik, mereka tidak boleh dilayan sebagai badut tapi harus dilayan sebagai ‘idea baharu’.

Pihak establishment ada menggunakan Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional sebagai wadah untuk mahasiswa pro-establishment untuk menyatakan pandangan.

Bagi blok pembangkang pula, saya tidak pasti jika mereka ada menyediakan ruang seperti ini. Sekiranya belum diwujudkan, maka sudah sampai masanya untuk mereka mewujudkan persidangan mahasiswa yang anti-establisment untuk mendengar idea-idea dan kritikan yang pasti akan memberi keuntungan kepada mereka.


RAHMAN IMUDA aktivis mahasiswa dan mantan naib yang dipertuan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) salah sebuah universiti awam.

Lihat Komen
ADS