Polis akan merakam keterangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam masa terdekat berhubung dakwaan parti itu pernah ditawarkan kerjasama oleh Amerika Syarikat untuk menjatuhkan kerajaan BN pada 2014.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata langkah itu bagi melengkapkan siasatan selepas polis menerima 12 laporan dan merakam keterangan 12 saksi berhubung isu tersebut.

“Rakaman percakapan YB Tan Sri Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang akan diambil dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Kumar, kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan kegusaran awam.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Kumar turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Masyarakat turut digesa untuk menggunakan platform media sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.


BACA BERKAITAN:

'Palsu': Kedutaan AS nafi dakwaan Hadi mengenai tawaran jatuhkan k'jaan BN

Hadi dakwa Amerika pernah tawar PAS jatuhkan Najib