Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M, jangan politikkan hal agama - MB Kedah
Diterbitkan:  Jan 2, 2017 2:45 PM
Dikemaskini: 6:51 AM

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, urusan berkaitan agama tidak seharusnya dipolitikkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia kerana, katanya, sama ada jemaah tajaan Malaysia Development Berhad (1MDB) akan mendapat haji mabrur atau tidak adalah rahsia Allah Taala.

“Tidak sepatutnya orang yang dah lama dan berpengalaman, tak perlulah guna agama untuk kepentingan politik.

“Agama ini soal kita dengan Allah. Jadi kita tak perlu gaduh ambil isu ini sebagai kepentingan politik. Itu adalah hak Allah bukan hak kita,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Terdahulu, Mahathir mendakwa orang yang melaksanakan ibadah haji menggunakan wang 1MBD tidak akan mendapat haji mabrur kerana ia berpunca daripada wang haram yang dicuri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Susulan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan bekas perdana menteri itu supaya tidak berlagak pandai dalam hukum berkaitan Islam sehingga berani mempersoalkan hal ibadat haji orang lain.

Ahmad Bashah turut berkata urusan tersebut biarlah diserahkan kepada Allah manakala kita seharusnya berdoa supaya mendapat haji yang mabrur.

“Sama ada mabrur atau tidak itu tuhan yang menentukan. Kerja kita laksanakan ibadah (haji) itu. Sesetengah itu bukan kerajaan hantar. Takkan itu pun tak mabrur.

“Sama juga kalau saya hantar dua tiga orang (pergi haji) sebab saya nak bagi sumbangan kerana mungkin dia tahun ini berniaga untung sikit. Apakah orang yang saya hantar itu tak mabrur haji dia,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sementara itu Ahmad Bashah berkata rakyat sendiri kini boleh menilai sama ada Mahathir sangat terdesak sehingga membuat pelbagai tuduhan.

“Kita bagi BR1M dia kata dedak, negara lain baru mula nak bagi BR1M. Itu bantuan kerajaan. Sebagai kerajaan kita patut prihatin apa yang boleh kita buat untuk meringankan beban rakyat,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS