Polis berkas 8 lelaki, rampas senjata api, bom tangan tiruan
Polis memberkas lapan lelaki dan merampas senjata api, bom tangan tiruan, peluru, parang dan dadah dalam satu serbuan di
sebuah bengkel membaiki kenderaan di Labu Kubong di Teluk Intan, 27 Disember lalu.
Serbuan tersebut dilakukan secara bersepadu polis Hilir Perak dengan
melibatkan anggota pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bersama Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (Sting) Bukit Aman serta Ibu pejabat Polis Kontinjen Perak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dalam serbuan pada 1.30 pagi itu, kesemua suspek berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun itu ditahan bersama ganja seberat 163 gram (g), syabu 55g dan heroin 25g.
"Dalam serbuan itu, kami merampas sepucuk Revolver. 22, sepucuk pistol dan bom tangan tiruan, 49 butir peluru 9mm, sepasang gari tangan, dua kelopak peluru dan enam bilah parang.
"Empat daripada mereka kami dapati mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua yang ditahan itu positif dadah dan mereka direman sehingga 9 Januari ini untuk siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Hilir Perak di Teluk Intan hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Perak Datuk SAC Gan Tian Kee dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Wan Hassan Wan Ahmad.
Mohd Mokhtar berkata lapan lelaki tersebut merupakan antara 99 penagih dadah yang ditahan dalam Ops Bersepadu itu yang dilakukan dari 27 hingga 29 Disember lalu.
"Sepanjang tiga hari itu, kami melancarkan 86 serbuan di sekitar Hilir Perak dan berjaya menahan 99 penagih dadah yang berusia lingkungan umur 18 hingga 55 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk senjata api.
"Seramai 81 orang merupakan rakyat tempatan, lima rakyat Kemboja, lapan Myanmar, tiga Thailand dan dua Indonesia serta nilai keseluruhan rampasan dadah RM7,078," katanya. -Bernama

