Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mungkin hilang ingatan apabila terus meminta parti-parti komponen BN menyatakan pendirian mengenai rang undang-undang persendirian yang dibentang presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Adakah Lim mengalami amnesia, dan tidak dapat ingat bahawa MCA sebenarnya telah mengisytiharkan pendirian kami mengenai isu ini banyak kali?

"Saya nasihatkan Kit Siang untuk segera berjumpa doktor atau mengakui jawapan rasmi parti-parti komponen BN dalam perkara ini," kata Pengerusi Publisiti MCA, Chai Kim Sen dalam satu kenyataan hari ini.

Chai berkata adalah "tidak masuk akal" bagi Lim mempersoalkan sama ada MCA, Gerakan dan MIC setuju agar BN mengambil alih RUU bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang juga dikenali sebagai Akta 355.

"Saya ragu-ragu sama ada ingatannya hanya bertahan hingga semalam, di mana tiga hari sebelum itu, pada 30 Disember  2016, Presiden MCA Liow Tiong Lai telah mengisytiharkan bahawa 'tanpa mengira sama ada sesuatu RUU dibentangkan oleh pembangkang atau Umno, jika ia menentang perlembagaan, MCA akan menentangnya hingga ke akhir'," katanya.

Chia berkata, Lim perlu menjelaskan mengapa DAP masih bekerjasama dengan PAS dalam kerajaan negeri Selangor dan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta PKR selepas kedua-dua parti itu mengesahkan mereka akan bekerjasama dengan PAS.

"Pemimpin-pemimpin DAP sekarang bukan sahaja lupa, tapi juga buat-buat pekak dan bisu," kata Chai.

DAP sebelum ini membidas MCA kerana membenarkan Umno memberikan laluan terhadap RUU tersebut.

Pada masa sama, parti komponen BN pula mengingatkan DAP bahawa ia telah bersekutu dengan PAS ketika parti Islam itu meluluskan enakmen di Kelantan untuk pelaksanaan hudud.

[Baca berita asal]