Seorang murid tahun empat ditemui lemas selepas basikal yang dinaiki bersama abangnya terbabas ke dalam takungan air ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kota Bharu semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Supt Setapa Yusuf berkata mangsa Muhammad Fitri Mohd Afendi, 10, belajar di Sekolah kebangsaan (SK) Kampung Keling.

"Abang mangsa terselamat dalam kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Beliau berkata siasatan lanjut akan dijalankan berhubung kejadian itu tetapi pada peringkat ini ia diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Afendi Ab Hamid, 40, berkata beliau mengetahui kejadian menimpa anaknya itu kira-kira pukul 1.15 tengah hari selepas seorang penduduk kampung bergegas ke rumahnya di Kampung Nilam Baru di Kota Bharu.

ohd Afendi berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, seorang penduduk memberitahu bahawa anaknya sudah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

- Bernama