Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar tidak mahu mengulas sebarang spekulasi berhubung tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Sebaliknya, beliau berkata secara prinsip, dirinya akan terus bekerja seolah-olah PRU akan diadakan esok.

"Saya tak nak buat ramalan, tanggungjawab saya buat kerja seolah-olah esok PRU," katanya ringkas kepada pemberita selepas sebuah majlis di Shah Alam, hari ini.

Semalam, pasukan penyelidikan sulit Financial Times menjangkakan bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada suku ketiga tahun ini, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di landasan yang betul untuk mengekalkan cengkaman kuasanya.

Cabang penyelidikan akhbar ekonomi antarabangsa Financial Times itu juga percaya bahawa persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya yang kini dicabar di mahkamah akan siap menjelang akhir suku kedua.

Menurut pasukan penyelidikan itu, Najib akan memenangi PRU-14 walaupun terpalit dengan skandal rasuah 1MDB.

Ia juga melaporkan Najib akan mendapat manfaat hasil kegagalan yang dijangka dalam rundingan antara Pakatan Harapan dan PAS.

Najib sebelum ini membayangkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

Namun tarikh sebenar masih menjadi misteri, sama seperti apa yang berlaku sebelum pilihan raya umum tahun 2013.

Lihat Komen
ADS