Polis Pulau Pinang tidak menerima sebarang permohonan bagi mengadakan perhimpunan solidariti untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini di Mahkamah Tinggi George Town.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata perhimpunan itu dikatakan untuk menunjukkan sokongan kepada Anwar yang akan menghadiri satu perbicaraan kes di mahkamah itu bermula Isnin ini.

"Pihak penganjur sepatutnya perlu memaklumkan kepada polis 10 hari sebelum mereka mengadakan perhimpunan tetapi sehingga hari ini kami tidak terima sebarang permohonan.

"Jika mereka masih meneruskan (perhimpunan) polis akan memantau dan ambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Timur Laut, di George Town hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa papan iklan yang dipasang di negeri ini mengajak rakyat berhimpun untuk bekas ketua pembangkang itu.

Abdul Ghafar berkata polis telah menurunkan tiga papan iklan yang dipasang di daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

- Bernama