Exco kerajaan negeri Selangor V Ganabatirau mahu kes letupan bunga api sempena sambutan tahun baru 2017 di Fiesta Gegar Klang tidak dijadikan isu politik.

Beliau yang bertanggungjawab terhadap portfolio kemiskinan, kerajaan prihatin dan pekerja ladang itu berkata ini kerana kes berkenaan sedang diteliti secara serius oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri serius dalam perkara ini terutama membabitkan orang awam. Tolong jangan politikkan hal ini.

“Ketika ini, polis sedang menyiasat perkara ini,” kata Ganabatirau selepas melawat mangsa yang dirawat di klinik di Majlis Perbandaran Klang (MPK), hari ini.

Ganabatirau berkata pihaknya percaya tuduhan liar yang dibuat ke atas MPK itu adalah tidak berasas.

“Kerajaan negeri dan MPK bersedia memberi kerjasama dan tidak menyembunyikan apa-apa perkara,” katanya.

Pada kejadian malam Sabtu lalu, kegembiraan pengunjung Fiesta Klang yang menunggu ketibaan detik tahun baru bertukar mimpi ngeri apabila sebahagian daripada bunga api yang dinyalakan, meletup di atas tanah.

Seramai 14 pengunjung dilaporkan cedera dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Letupan 1957.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin yang hadir sama berkata satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan.

“Jawatankuasa ini akan menghubungi mangsa setiap hari bagi bertanyakan keperluan dan keadaan mereka.

“Kita juga menyediakan pengangkutan untuk membawa mangsa ke hospital atau klinik bagi mendapatkan rawatan,” katanya.