Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan agensi-agensi yang menguatkuasakan undang-undang berkaitan jalan raya dan pengangkutan jalan supaya menubuhkan satu jawatankuasa tetap dan pusat pentadbiran bersepadu untuk penguatkuasaan bersama yang lebih cekap dan berkesan.

Pengerusinya Datuk Yaacob Md Sam berkata tiga agensi yang menguatkuasakan undang-undang berkaitan jalan raya iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bekerjasama erat untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.

Beliau berkata sistem yang sedia ada terdapat kelompongan di mana JPJ, PDRM dan SPAD tidak dapat mengakses rekod dalam talian antara satu sama lain dan ini memberi kesan dalam penguatkuasaan dan tindakan susulan yang bakal diambil.

"Ketiga-tiga agensi ini memerlukan satu sistem bersepadu yang bersambung bagi membolehkan agensi-agensi ini berkongsi maklumat dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya secara berkesan.

"Ini dapat mengelak sesebuah agensi daripada tidak mengetahui rekod atau tindakan yang diambil agensi lain," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Yaacob juga mencadangkan agar SPAD disenaraikan semula di bawah seliaan suruhanjaya itu kerana EAIC turut menerima aduan berhubung salah laku pengawai penguat kuasa SPAD.

Katanya SPAD yang dahulunya merupakan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Semenanjung (LPKP) adalah di bawah seliaan EAIC namun sejak SPAD ditubuhkan secara rasmi pada 2010 ia tidak lagi di bawah seliaan EAIC.

Beliau berkata EAIC telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Perdana Menteri berhubung cadangan itu.

"Kita akan membuat saranan rasmi kepada kerajaan agar meletakkan semula SPAD di bawah seliaan EAIC," katanya, sambil menambah bahawa EAIC menerima kira-kira 10 aduan terhadap suruhanjaya itu.

Mengenai pindaan Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700), Yaacob berkata antara cadangan pindaan termasuk mewajibkan lembaga atau badan tatatertib di agensi penguatkuasaan di bawah seliaannya memaklumkan hasil tindakan tatatertib yang diambil susulan syor yang dikemukakan EAIC.

Beliau berkata lembaga tatatertib diberikan tempoh 90 hari selepas tarikh penerimaan syor EAIC berbanding sebelum ini yang tiada rangka jangka masa.

"Kita mendapati lembaga tatatertib tertentu mengambil masa sehingga lapan bulan untuk mengambil tindakan tatatertib. Ini menjadikan syor yang dikemukakan tidak efektif apabila dilaksanakan. Ini tidak dapat memantapkan displin dan tatatertib penjawat awam," katanya.

Yaacob berkata cadangan pindaan Akta 700 itu kini di peringkat akhir kelulusan Pejabat Peguam Negara.

Beliau juga menafikan bahawa suruhanjaya itu mencampuri urusan dalaman lembaga tatatertib agensi di bawah seliaannya.

"EAIC akan menyiasat dan apabila siasatan lengkap, kita membuat laporan kepada pihak berkuasa tatatertib dan laporan itu boleh digunakan untuk tindakan tatatertib. Kita hanya membuat pengesyoran," katanya.

- Bernama