Anggota-anggota Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) bersedia untuk membayar tuntutan kepada mangsa yang mempunyai perlindungan banjir sebagai sebahagian daripada polisi insurans am/sijil takaful mereka.

PIAM dan MTA dalam satu kenyataan bersama berkata pemegang polisi insurans/sijil takaful, perniagaan dan juga individu, perlu menyemak polisi/sijil takaful kebakaran dan motor mereka untuk menentukan sama ada mereka dilindungi bagi kehilangan atau kerosakan yang dialami akibat banjir.

"Mereka dinasihatkan menghubungi syarikat insurans/pengendali takaful untuk melaporkan kerugian agar syarikat insurans/pengendali takaful boleh menilai kerugian dan memproses tuntutan dengan segera kerana keadaan setiap kes/tuntutan mungkin berbeza," demikian menurut kenyataan itu.

PIAM dan MTA juga menasihatkan perniagaan dan individu mengambil produk insurans/tafaul yang berpatutan yang ditawarkan oleh syarikat insurans/takaful bagi melindungi diri mereka daripada kerugian sebegitu.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 12,931 orang daripada 4,640 keluarga setakat pukul 5 petang ini berbanding 13,521 orang daripada 4,821 keluarga tengah hari tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi infobanjir, kini terdapat sebanyak 31 pusat pemindahan masaih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di Jajahan Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.

Jumlah mangsa paling ramai ialah di Jajahan Pasir Mas iaitu sebanyak 8,870 orang daripada 3,364 keluarga yang ditempatkan di 22 pusat pemindahan, diikuti Jajahan Tumpat sebanyak 3,871 orang daripada 1,232 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.

Terdapat 190 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan di Pasir Puteh.

Cuaca cerah hari ini dan banjir yang semakin surut akan membolehkan lebih ramai mangsa pulang ke rumah masing-masing.

Menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my. hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 9 meter (m), namun menunjukkan trend penurunan iaitu 9.77 m berbanding 9.84 m tengah hari tadi.

Paras air Sungai Kelantan semakin surut dan berada di bawah paras bahaya dengan bacaan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pada 12.99 m berbanding 13.13m tengah hari tadi (paras bahaya 16m) manakala paras air sungai utama yang lain telah kembali ke paras normal.

Mangsa banjir di Terengganu pula meningkat kepada 1,302 orang setakat pukul 6 petang berbanding 1,267 tengah hari tadi.

- Bernama