Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, tindakan Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyaman media atas dakwaan wujudnya pakatan sulit pembangkang adalah wayang terbaru pemimpin veteran tersebut.

Menurut Sohaimi, tindakan menyaman media adalah sekadar untuk mengalih perhatian rakyat khususnya ahli DAP bagi membuktikan kononnya pakatan sulit itu tidak wujud.

“Jika benar Kit Siang mahu menafikan dakwaan itu, beliau perlu menyaman individu bertanggungjawab iaitu, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

“Apatah lagi Tunku Abdul Aziz sendiri sudah menyatakan kesediaan untuk disaman oleh pemimpin Dap itu mahupun Dr Mahathir.

"Kenapa Kit Siang takut hendak saman Tunku Aziz, apakah bimbang tembelangnya itu yang tanpa pengetahuan PKR itu terbongkar?,” ujar beliau lagi, memetik laporan Umno Online.

Baru-baru ini, Tunku Aziz yang merupakan bekas naib pengerusi DAP mendakwa wujudnya pakatan rahsia antara Kit Siang dan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengangkat Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Justeru, Tunku Aziz turut mencabar Kit Siang dan Mukhriz agar membuat akuan bersumpah bagi menafikan tuduhan tersebut atau menyamannya sekiranya tuduhan itu adalah fitnah.

Susulan daripada itu, Kit Siang telah mengemukakan saman ke atas dua akhbar, Utusan Malaysia dan New Straits Times (NST) yang menyiarkan dakwaan Tunku Aziz tersebut.

Mengulas lanjut, Sohaimi berkata, bagi menafikan dakwaan itu, Kit Siang cuba untuk meletakkan kesalahan kepada akhbar arus perdana yang dianggap musuh DAP.

"Persoalannya, kenapa Kit Siang perlu menyaman media secara terpilih, saya kira banyak lagi media mahupun portal berita menyiarkan perkara itu.

"Kenapa Kit Siang tidak menyaman semua media lain yang turut menyiarkan artikel itu?. Kit Siang sebenarnya takut pada bayang-bayangnya sendiri," katanya.