Jawatankuasa kuil Batu Caves akan berjaga-jaga terhadap amaran untuk menyembur cat aerosol terhadap wanita yang berpakaian “tidak sesuai” dalam perayaan Thaipusam bulan depan.

Pengerusi kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam R Nadarajah berkata, jawatankuasa kuil tidak akan membenarkan ancaman sedemikian terhadap penganut agama tersebut yang dibuat menerusi catatan Facebook.

"Tidak ada kumpulan, sama ada di Facebook atau mana-mana platform, boleh mengancam orang lain terutama wanita mengenai cara mereka berpakaian.

"Kami akan berhubung dengan pihak berkuasa jika melihat sesiapa sahaja yang cuba untuk melakukan ancaman tersebut," kata Nadarajah, memetik laporan oleh The Sun.

Semalam, kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai 'Thaipusam Spraying Group' turut memuat naik contoh pakaian sari yang mesti dielakkan di Facebook.

Dengan mempunyai lebih 100 anggota, laman sosial kumpulan itu diasaskan oleh individu bernama Henry Barnabas.

Dalam Facebook sendiri, Barnabas menjelaskan kumpulan itu ditubuhkan bagi mempertahankan upacara-upacara Hindu dan kebudayaan orang India.

“Mari sebarkan mesej positif melalui kumpulan ini, supaya kita boleh dapat maklumat dan hormati makna Thaipusam.

“Ramai anak mudah sekarang tidak tahu sejarah silam. Thaipusam bagi mereka hanya glamor, menari dengan (paluan gendang) urumi melam dan sebagainya.

“Mari beri kesedaran kepada generasi muda dan akan datang,” tulisnya.

Mengulas lanjut, Nadarajah berkata, walaupun kuil mempunyai kod pakaian untuk lelaki dan wanita, ia akan dikuat kuasakan dengan berhati-hati.

"Kami mahu mereka patuhi (kod pakaian) tetapi tidak akan paksa.

"Bagi mereka yang kita dapati abaikan kod pakaian, kami akan memaklumkan dengan berhati-hati dan tertib.

"Mudah-mudahan, perayaan ini berlangsung dengan aman," katanya.

[Baca berita penuh]