Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali berkata beliau akan turun berhimpun bersama PAS bagi menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) pada 18 Januari ini.

Ibrahim berkata, beliau akan berbuat demikian kerana ia adalah tanggungjawabnya sebagai seorang Islam.

“Saya akan turun berhimpun menyokong RUU355. Kalau ada kepentingan dengan Islam kita akan sokong tapi penyertaan atas kapasiti peribadi.

“Saya galakkan (ahli PERKASA) dan saya akan turut serta bagi sokongan moral,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat PERKASA hari ini.

Bagaimanapun Ibrahim mengingatkan anggotanya supaya tidak memakai baju PERKASA dan membawa bendera NGO itu kerana mereka tidak mahu dilihat terlibat dengan mana-mana parti politik.

“Penyokong PERKASA jangan pakai baju PERKASA, jangan bawa bendera. Saya nak elak persepsi yang mengatakan PERKASA terlibat dengan politik. Kita hadir sebagai Muslim yang nak tengok mahkamah diperkasakan,” katanya.

PAS merancang mengadakan himpunan besar- Himpunan Akta 355 pada 18 Februari depan dengan menyasarkan kehadiran 300,000 orang.

Himpunan tersebut bertujuan memberi penerangan kepada orang ramai terutamanya umat Islam mengenai akta berkenaan dan ia akan turut disertai kumpulan NGO. PAS mahu menambah hukuman maksimum Mahkamah Syariah melalui usul yang dibawa oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Solat hajat selamatkan Malaysia

Dalam usaha mendapatkan sokongan terhadap pindaan itu, Ibrahim turut memberi cadangan kepada PAS mengadakan solat hajat selepas sembahyang Jumaat.

Katanya, dengan cara itu mereka boleh mengutip tandatangan daripada jemaah yang hadir untuk dikumpul dan siderahkan kepada Yang Dipertuan Agong serta pemimpin negara.

"Saya yakin ramai orang Islam yang akan setuju dan mungkin separuh umat Islam di Malaysia (sokong),” katanya.

Sementara itu, PERKASA akan mengadakan solat hajat bagi ‘menyelamatkan Malaysia dari Rasuah’.

Ia kerana katanya sejak akhir-akhir ini banyak kes tangkapan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita malu dan tertekan dengan apa yang berlaku dalam masyarakat dan agensi kerajaan. Kita tahu nak membasmi rasuah tidak mudah.

“Maka PERKASA selain berusaha sama-sama banteras, kita memohon pada Allah supaya negara kita selamat dari perasuah di semua peringkat. Di kalangan semua pimpinan orang ramai supaya kita mohon dengan Allah dijauhkan rasuah,” katanya.

Katanya, solat hajat itu akan diadakan selepas solat Maghrib di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru pada 12 Januari (Khamis ini).

Katanya, penceramah jemputan akan turut memberi tazkirah bertajuk “Rasuah akan dilaknat oleh Allah”.

 

Lihat Komen
ADS