Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jenazah Adenan dikebumikan esok selepas Zuhur
Diterbitkan:  Jan 11, 2017 4:52 PM
Dikemaskini: 12:32 PM

Kerajaan Sarawak hari ini mengumumkan majlis pengebumian negeri dan tempoh berkabung tujuh hari bermula esok sebagai menghormati kematian Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Jenazah allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, di Kuching esok.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, jenazah Adenan akan dibawa dari kediaman peribadinya di Santubong ke Masjid Jamek Sarawak, Petra Jaya pada pukul 10 pagi untuk upacara penghormatan terakhir akan bermula 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.

"Orang ramai yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir dinasihatkan berpakaian gelap," katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri seorang lagi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani.

Abang Johari berkata esok juga diumumkan sebagai hari kelepasan am bagi negeri Sarawak dan tempoh berkabung selama tujuh hari dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang.

Beliau turut menyifatkan kematian Adenan sebagai kehilangan besar kepada negeri dan negara, lebih-lebih lagi Allahyarham sarat dengan pengalaman.

Ketua Menteri Sarawak kelima itu menghembus nafas terakhir pada jam 1.20 petang di Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan dekat Kuching.

Adenan yang bakal menyambut hari kelahirannya yang ke-73 pada 27 Januari ini meninggalkan isteri, Puan Sri Jamilah Anu dan lima anak.

Lihat Komen
ADS