Seorang lelaki berusia 21 tahun cedera parah dipercayai dipukul oleh majikannya dengan menggunakan rotan di Jalan Bakawali 52, Taman Johor Jaya di Johor Bahru baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Jokhiri Abd Aziz berkata pihaknya hanya mendapat maklumat mengenai kejadian yang berlaku di kediaman majikannya itu setelah kakak mangsa membuat laporan polis pada 10.26 malam kelmarin
"Mangsa merupakan pekerja kepada suspek yang bekerja sebagai jurujual aksesori kenderaan dan lain-lain aksesori dengan cara membuka gerai sementara dari satu lokasi ke lokasi lain di kawasan tumpuan ramai.
"Polis Seri Alam kini giat memburu suspek dan keluarga suspek bagi membantu siasatan kes ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata mangsa merupakan kenalan lama kepada suspek dan telah tinggal bersama suspek dan keluarganya di rumah kedai yang disewa di Jalan Bakawali 52.
Pada 7.30 malam kelmarin, katanya, keluarga mangsa pergi ke rumah suspek dan mengambil mangsa kerana mengesyaki mangsa dipukul oleh suspek ekoran kecederaan pada bahagian luaran badan mangsa agak serius dan dia didapati dalam keadaan lemah serta tidak terurus.
"Kesan kecederaan yang dialami mangsa iaitu parut dan luka melecet di bahagian tangan, bengkak di bahagian mulut, bengkak dan berdarah di bahagian telinga serta kesan luka, berdarah dan kesan-kesan parut akibat kecederaan lama di belakang badan," katanya.
Jokhiri berkata suspek dipercayai turut memukul mangsa menggunakan rotan, selain dipukul dengan tangan serta disepak.
Mangsa yang dipercayai dikurung selama tiga bulan telah dihantar untuk pemeriksaan dan menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru selepas laporan polis dibuat, katanya.
"Sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat kerana suspek bersama keluarganya telah menghilangkan diri sebaik keluarga mangsa mengambil mangsa dari rumah suspek dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan," katanya.
Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau Hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222.
- Bernama