Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Adenan pemimpin disenangi rakyat
Diterbitkan:  Jan 12, 2017 7:21 AM
Dikemaskini: Jan 12, 2017 3:26 AM

Ketegasan dan keadilan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dalam mentadbir negeri bukan hanya disanjungi pemimpin kerajaan malah keperibadian itu turut diakui barisan pemimpin pembangkang.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang tegas, adil dan berjiwa rakyat.

"Saya amat terkejut dengan berita kematian Allahyarham. Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat seluruh rakyat Sarawak dan Malaysia," katanya dalam kenyataan semalam.

Adenan meninggal dunia kira-kira 1.20 tengah hari di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching, 16 hari sebelum hari lahirnya yang ke-73.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pemergian Adenan merupakan suatu kehilangan besar buat negeri berkenaan yang selama hampir dua tahun ditadbir seorang pemimpin yang amat disenangi segenap lapisan masyarakat.

"Allahyarham menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam memperjuangkan nasib rakyat dan negeri Sarawak sejak mula menerajui pemerintahan negeri pada Mac 2014.

"Banyak perubahan positif yang telah dan sedang beliau usahakan dalam memajukan Sarawak," kata Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang.

Sementara itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata Sarawak kehilangan seorang pemimpin yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan diri sendiri.

"Allahyarham banyak menabur bakti kepada rakyat Sarawak sejak menjadi wakil rakyat pada 1979 malah seorang tokoh federalisme yang mengangkat semangat Perjanjian Malaysia 1963.

"Adenan juga berjuang untuk hak rakyat Sarawak termasuk otonomi fiskal melibatkan peningkatan royalti minyak 20 peratus," demikian menurut Presiden Keadilan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama semalam/

Pengerusi PKR Sabah Christina Liew menganggap Allahyarham sebagai pemimpin yang tegas dan sumber inspirasi kepada Sarawak dan Sabah terhadap isu hak asasi di bawah perjanjian Malaysia 1063.

"Bagi pihak PKR Sabah, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham ketua menteri," katanya.

Sementara itu, di GEORGE TOWN, Pulau Pinang, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang mengucapkan takziah kepada keluarga Adenan dan kerajaan Sarawak, berkata Adenan akan dikenang sebagai pemimpin yang tidak dikaitkan dengan sebarang kontroversi peribadi, atau dicemari skandal rasuah.

Katanya kerajaan Pulau Pinang berkongsi kesedihan dengan rakyat Sarawak yang mengagumi sikap terbuka dan berterus terang Adenan.

"Sepanjang beberapa tahun saya bertemu beliau pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja, saya dapati beliau seorang yang merendah diri, berpengetahuan luas, mudah didekati dan bersedia untuk berbincang.

"Walaupun mempunyai perbezaan dari segi politik, kami sama-sama percaya bahawa perlu ada pengagihan kuasa dengan menghormati hak negeri dan hak orang tempatan yang tidak boleh diketepikan dalam menentukan hal ehwal tempat mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS