GLOBAL l Dalam sidang media pertamanya sejak pilihan raya 8 November lalu, presiden dipilih, Donald Trump membuat media sosial 'panas' dengan kenyataannya termasuk kritikan keras terhadap akhbar dan mempertahankan matlamatnya untuk berbaik dengan Rusia.

Sesi itu yang diadakan di lobi ibupejabatnya di Menara Trump di Manhattan, menyaksikan beberapa detik-detik viral, seperti pertikaman lidah dengan wartawan yang dituduh Trump menjajakan "berita palsu."

"Saya tidak akan beri awak tanya soalan," kata Trump kepada wartawan dari CNN, yang melaporkan pada hari Selasa bahawa Trump telah diberi taklimat oleh agensi perisikan Amerika mengenai dakwaan bahawa operatif Rusia telah mengkompromikan maklumat mengenai dirinya.

"Anda jaja berita palsu!" katanya kepada wartawan itu yang kemudiannya bergema di Twitter.

Komen Trump bahawa pemberita adalah "satu-satunya yang mengambil berat" sama ada dia mengeluarkan penyata cukainya, telah mencetus 165,000 tweet semasa sesi itu. Pengguna media sosial meminta orang ramai untuk "retweet jika anda bukan wartawan dan masih mengambil berat untuk melihat pulangan cukai Trump."

Di Rusia, hashtag #TrumpPressConference menjadi topik utama trending semasa sidang akhbar itu dan berterusan selama beberapa jam selepas itu.

"Jika Putin suka Donald Trump, saya anggap itu satu aset, bukan satu liabiliti kerana kita mempunyai hubungan yang teruk dengan Rusia," kata Trump, yang mengambil alih jawatan presiden pada 20 Januari, merujuk kepada presiden Rusia.

"Saya tidak tahu saya dapat sehaluan dengan Vladimir Putin. Saya harap begitu. Tapi ia boleh jadi sebaliknya," kata Trump, yang mencetuskan ribuan tweet dari Rusia.

Agensi perisikan Amerika berkata bahawa Rusia di belakang kempen penggodaman yang bertujuan meningkatkan peluangan kemenangan Trump ke atas calon Demokrat Hillary Clinton.

Terdapat lebih kurang 80,000 tweet seluruh dunia dicap dengan tag #TrumpPressConference, semasa sesi selama sejam itu dengan kira-kira 250 wartawan.

Sentimen Twitter mengenai Trump pada sesi itu ialah 14 peratus positif, 63 peratus berkecuali dan 23 peratus negatif, kata syarikat pemasaran teknologi digital global, Amobee.

Turut mendapat reaksi ialah komen Trump mengenai janjinya untuk membina tembok di sempadan AS-Mexico dan membuat Mexico membayarnya.

Katanya, beliau tidak akan menunggu rundingan dengan Mexico sebelum memulakan pembinaan tembok itu, tetapi menambah: ". Mexico dalam beberapa bentuk ... akan bayar balik kepada kita"

Dalam responnya, bekas presiden Mexico, Vicente Fox menulis di tweet: "Sama ada hari ini, atau esok atau selamanya, Mexico tidak akan bayar untuk tembok bodoh itu." [Baca berita penuh]

- Reuters