Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
23 kesalahan perhutanan di Kedah sepanjang 2016
Diterbitkan:  Jan 12, 2017 3:32 PM
Dikemaskini: 8:12 AM

Jabatan Perhutanan Kedah mengutip hasil sehingga RM1.12 juta berkaitan 23 kesalahan hutan (balak) sepanjang 2016, kata Timbalan Pengarah (Operasi) jabatan itu Mohd Rahim Ramli.

Beliau berkata kesalahan itu meliputi denda mahkamah, bayaran ganti rugi dan kompaun membabitkan tiga daerah iaitu dua di bahagian utara, tujuh (tengah) dan 14 di selatan negeri ini.

"Sebanyak 12 tangkapan individu termasuk rampasan lori di jalan raya (kayu transit) dibuat manakala lima kes membabitkan tangkapan di dalam hutan dan empat kes dikesan namun tiada tangkapan dilakukan.

"Di samping itu, sebanyak 22 buah kenderaan termasuk sebuah 'backhoe' dan dua jentolak antara yang dirampas dalam operasi yang dijalankan sepanjang tahun lalu," katanya.

Mohd Rahim berkata pihaknya turut merampas 513 kayu balak, 41 kayu jaras dan 500 batang rotan berkaitan kesalahan pembalakan.

"Berikutan kesalahan yang dilakukan, sebanyak 10 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) dengan satu kes dibawa ke mahkamah.

"Dalam kes tesebut, denda sejumlah RM44,000 dikenakan termasuk bayaran penalti kepada pihak berkuasa negeri sebanyak RM32,795, hak jentera dilucutkan dan jentera tersebut akan dilelong," jelasnya.

Mohd Rahim berkata, pihaknya akan mempergiatkan pelbagai operasi sepanjang 2017 ini bagi membanteras penularan jenayah berkaitan perhutanan di seluruh negeri Kedah.

"Ini penting bagi mengelak hasil hutan negara seperti kayu balak diseludup atau disalah guna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS