Polis menahan 26 orang disyaki anggota kumpulan 'Ah Long' yang bertindak ganas semasa memungut hutang, di sekitar Johor
Bahru dan Ipoh, Perak.

Dalam operasi itu yang bermula dari 10 malam tadi hingga 4 pagi ini, seramai 23 lelaki tempatan dan tiga wanita termasuk seorang warga Vietnam berumur di antara 17 dan 51 tahun ditahan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata dalam operasi itu, polis turut merampas 21 kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM1.4 juta dan wang tunai sebanyak RM416,050.

"Polis juga merampas 18 beg tangan wanita berjenama termasuk Chanel bernilai RM150,000," katanya kepada Bernama hari ini.

Selain itu, katanya polis merampas 83 kad ATM, 17 buku bank, sembilan parang dan sembilan pedang samurai dalam operasi itu.

Acryl Sani berkata jumlah sitaan harta keseluruhan operasi itu dianggarkan RM2 juta.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan menarik 'pelanggan'menerusi iklan dan risalah di kawasan perumahan dan perniagaan yang menjadi tumpuan awam.

Peminjam akan dikenakan faedah tinggi di antara 10 hingga 15 peratus dan ditawarkan pinjaman baharu bagi membantu menyelesaikan pinjaman.

"Sindiket ini bergiat aktif sejak dua tahun lepas di kawasan sekitar Johor...mereka bertindak ganas dengan membuat ugutan dan menyimbah cat semasa membuat kutipan wang.

"... ramai anggota sindiket itu juga dipercayai mendalangi kegiatan samseng serta kongsi gelap di sekitar negeri berkenaan," katanya.

Di KULAI, Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Zakaria Ahmad pula memberitahu seramai 20 daripada suspek itu ditangkap di lapan lokasi di Johor, seorang di Kuala Lumpur dan lima lagi di Ipoh.

Polis juga mengenal pasti anggota-anggota lain dan orang 'utusan' sindiket itu, yang dipercayai beroperasi di Johor sejak 13 tahun lepas, katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata sesetengah barangan yang dirampas daripada sindiket itu dipercayai diperoleh daripada mangsa yang gagal menjelaskan pinjaman.

"Kita juga sedang menyiasat jumlah rumah dan tanah yang dimiliki mereka hasil daripada kegiatan ini," katanya.

Menurutnya polis turut merampas 12 komputer dan 52 telefon bimbit dalam tangkapan terbesar itu.

Mohd Zakaria berkata dalam sebulan, kumpulan itu menerima bayaran pinjaman yang mencecah RM1 juta.

"Untuk mengelak dikesan polis, mereka akan menggunakan wang kutipan itu untuk membeli barangan mewah termasuk rumah dan tanah," katanya.

Beliau berkata 'Ah Long' itu bergerak di Skudai, Johor Bahru dan Kulai selain terlibat dengan aktiviti kongsi gelap.

Siasatan mendapati sindiket itu turut memiliki sebuah bilik soal siasat kalis bunyi di mana peminjam yang gagal membayar pinjaman akan didera di dalamnya.

Kesemua suspek itu ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Akta 400) dan Seksyen 3 Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563).

- Bernama