Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khutbah ingatkan perasuah akan dilaknat Allah
Diterbitkan:  Jan 13, 2017 1:40 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini mengingatkan umat Islam bahawa pengamal rasuah akan dilaknat Allah.

Menurut teks khutbah berkenaan, perbuatan rasuah merupakan tingkah laku yang menyimpang dalam kehidupan bermasyarakat dan ia juga adalah penyakit sosial yang ditegah Islam.

Ini kerana, pemberian secara rasuah tidak didorong oleh keikhlasan dan tidak bertujuan untuk mencapai reda Allah, kata teks khutbah itu.

Malah, mimbar turut memberikan hadis Rasulullah SAW yang melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah termasuk orang yang menjadi perantaraan.

"Rasuah memberi kesan yang amat buruk kepada sistem keadilan dan pentadbiran. Ia mengetepikan hak-hak orang lain demi untuk kepentingannya.

"Perbuatan rasuah meliputi amalan meminta, menawar, menerima suapan, tuntutan palsu atau menyalah guna jawatan untuk kepentingan diri, keluarga dan golongan tertentu termasuk juga apa yang disebut umum sebagai 'duit kopi', 'pelincir', 'tumbuk rusuk', dan 'duit tepi' sama ada berbentuk wang tunai atau barangan seperti tukar tayar kereta, melancong, bayar bil, habuan gadis, ubah suai rumah dan sebagainya yang sukar ditangani oleh (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) SPRM," kata teks khutbah berkenaan.

Malah, teks khutbah itu juga menyebut bahawa sumber rasuah tersebut kotor dan haram dimakan kerana setiap jasad yang tumbuh dari duit sumber yang haram, jasadnya akan ditempatkan dalam neraka.

Mimbar turut memetik hadis yang diriwayatkan oleh At-tabrani daripada Ibnu Mas'ud yang bermaksud, pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka.

"Demikianlah besarnya dosa dan balasan Allah kepada pemberi dan pengamal rasuah," kata mimbar lagi.

Justeru, mimbar menyeru agar umat Islam yang beriman kepada Allah dan hari akhirat supaya menjauhi rasuah dan segala bentuk penyelewengan yang boleh dilaknat Allah.

Lihat Komen
ADS