Seorang jurutera maut selepas dilanggar dan diseret beberapa kenderaan dalam kejadian di Km 374.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat Tanjung Malim tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak DSP Mohd Mahiri Hussin berkata dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, Izzudin Hamdan, 26, menunggang motosikal di lorong kiri lebuh raya dalam perjalanan dari Manjung ke Ulu Bernam.

"Motosikal yang ditunggang Izzudin hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong tengah dan mangsa tercampak ke tengah jalan.

"Motosikal mangsa kemudian dilanggar oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Hyundai Tucson dan akibat pelanggaran motosikal itu melekat di bawah SUV sehingga menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pada masa sama, Izzudin dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta jenis Audi ke lorong paling kanan sejauh satu kilometer sebelum mangsa dilanggar lagi oleh sebuah kereta lain hingga ke pembahagi jalan.

Mangsa yang berasal dari Sitiawan maut di tempat kejadian manakala kesemua pemandu dan penumpang tiga lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Mohd Mahiri berkata ketika kejadian mangsa menunggang bersama seorang lagi rakan, Mohd Zahir Mohd Khair, 30, yang tidak terlibat dalam kemalangan itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.

Lari dari polis, lemas di sungai

Sementara itu, seorang pemuda yang lari dari polis, tenggelam dan mati lemas di dalam sungai di Kampung Bekok, Hulu Besut semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata mayat Muhamad Ekraam Maidin, 27, kemudiannya ditemukan kira-kira pukul 9.50 malam tadi.

Beliau berkata pihak polis pada mulanya bertembung dengan mangsa kira-kira pukul 5.20 petang yang dalam keadaan mencurigakan dan mahu memeriksanya, namun mangsa enggan berhenti tetapi terus memecut keretanya.

Pihak polis lalu mengejar mangsa yang kemudiannya memberhatikan keretanya di tepi jalan sebelum melarikan diri ke dalam semak berdekatan sungai berkenaan.

"Ketika pihak polis menghampirinya, dia bertindak terjun ke dalam sungai dan kemudian berenang ke tengah sungai. Selepas diminta oleh anggota polis supaya dia berpatah balik kerana sungai itu luas dan airnya dalam, dia lalu berpatah balik.

"Namun kira-kira 50 meter sebelum sampai ke tebing, dia terus tenggelam dan hilang, sebelum usaha mencari dan menyelamat dilakukan," katanya ketika dihubungi.

Mohd Zamri berkata dalam kereta mangsa ditemukan 1,200 biji pil kuda dan sembilan paket syabu yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM13,080.

- Bernama