Armageddon jadi inspirasi Nur Adlyka dalam astronomi
Minat menonton filem Armageddon dan Apollo 13 sejak berusia 13 tahun membawa kejayaan luar biasa kepada Nur Adlyka Ainul Annuar dalam bidang astronomi.
Beliau yang merupakan pelajar PhD dari Pusat Esktragalaksi Astronomi di Universiti Durham United Kingdom menjadikan filem itu sebagai inspirasi sebelum menceburi bidang berkenaan.
“Saya mula meminati bidang astronomi sejak sekolah rendah lagi, tetapi betul-betul menetapkan minda saya untuk menceburi bidang ini ketika berumur 13 tahun setelah menonton filem Armageddon dan Apollo 13,” katanya seperti dilapor Majalah Sains.
Nur Adlyka baru-baru ini mengharumkan nama negara apabila menemui bukti kewujudan lubang hitam raksasa (suppermassive black holes) di galaksi yang terletak kira-kira 38 juta tahun cahaya daripada Bima Sakti.
Lubang hitam raksasa ditakrifkan sebagai lubang hitam yang saiznya sekurang-kurangnya satu juta kali besar daripada matahari.
Penemuan ini dibentangkan dalam sebuah sidang akhbar pada mesyuarat American Astronomical Society di Grapevine, Texas.
Beliau bersama penyelidik British melakukan penyelidikan tersebut menggunakan teleskop X-ray terbaru milik agensi Angkasa Amerika(NASA) iaitu NuSTAR (Nuclear Spectroscopic Telescope Array.
Dalam penyelidikan tersebut, Nur Adlyka diberi tugas khusus mencari lubang hitam berkenaan yang tersembunyi daripada pandangan mata kasar kerana dilindung oleh gas dan habuk yang tebal.
Menurut Adlyka, beliau kini di bawah penyeliaan Prof. David Alexander, profesor Astronomi dan juga Timbalan Pengarah, Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Universiti Durham.
Jadi inspirasi anak muda
Bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sultan Abu Bakar, Muar itu turut berharap kejayaannya memberi inspirasi kepada anak-anak muda menceburi bidang astronomi dan astrofizik.
"Saya berharap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda negara kita untuk tidak takut menceburi bidang astronomi dan astrofizik, yang dianggap baru dan tidak mempunyai prospek pekerjaan yang banyak di Malaysia.
"Lebih ramai yang menceburi bidang ini, akan lebih banyak pekerjaan yang mampu ditawarkan, insyaAllah," ujarnya.
Justeru beliau berharap kerajaan Malaysia dapat menyediakan lebih banyak pembiayaan bagi penyelidikan dalam bidang sains kepada universiti dan pusat-pusat penyelidikan di Malaysia.
"Besar harapan saya agar kerajaan Malaysia dapat meneruskan tajaan biasiswa kepada rakyat Malaysia yang layak dan berbakat, tanpa mengira bangsa dan agama, terutamanya pengajian lanjutan terutama di peringkat kedoktoran.
"Pada peringkat inilah kita betul-betul dapat mengumpul pengalaman yang sangat berguna dan memberi sumbangan yang besar dalam bidang yang diceburi, seterusnya mengharumkan nama negara," katanya.
Kertas penyelidikan berkaitan penemuan ini akan diterbitkan di dalam journal “The Astrophysical Journal”.

