Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Lima jalan utama di Gua Musang selamat
Diterbitkan:  Jan 14, 2017 4:14 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Lima jalan utama menghubungkan Gua Musang dengan kawasan luar masih selamat digunakan oleh semua kenderaan walaupun terdapat beberapa kejadian kecil tanah runtuh akibat hujan.

Jalan utama tersebut adalah jalan menghubungkan Gua Musang dengan Kuala Lipis di Pahang; Kuala Berang di Terengganu serta Kuala Krai, Jeli dan Lojing.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Rajab Ahad Ismail berkata agensi berkaitan sedang giat memantau kawasan cerun yang mengalami kejadian tanah
runtuh bagi mengelak insiden tidak diingini terhadap pengguna.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan tahap keselamatan penggunaan jalan itu, namun pada masa sama pengguna juga perlu berhati-hati ketika memandu
kerana keadaan jalan yang licin," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bernama sebelum ini, melaporkan terdapat dua kejadian tanah runtuh di Km54 dan Km49 Jalan Gua Musang-Lojing sehingga menyebabkan ia terpaksa ditutup kepada sesetengah kenderaan sejak 30 Disember lepas.

Mengulas lanjut, Rajab Ahad berkata kejadian tanah runtuh kecil memang berlaku di dua kawasan berkenaan, namun ia tidak menghalang kenderaan daripada
melalui kawasan tersebut.

Beliau berkata lokasi itu telah diletakkan kon peringatan bagi mengelak pengguna memandu secara cuai, sekali gus boleh menyebabkan mereka terdedah
kepada kemalangan.

Selain itu, Rajab Ahad berkata beliau turut mengarahkan anggotanya untuk melakukan rondaan di kawasan sering berlaku kejadian tanah runtuh bagi mengelak sebarang kejadian buruk terhadap pengguna jalan raya.

 

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS