Mustapha: Strategi tangani banjir akan dibincang bersama MB K'tan
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed akan berbincang dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkenaan strategi jangka pendek dan panjang bagi menangani bencana banjir di negeri itu.
Mustapa berkata ini selaras dengan saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bekerjasama secara holistik menangani masalah banjir.
"Kita menyambut baik saranan dikemukakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu kerajaan persekutuan dan negeri bekerjasama secara holisitik bagi menangani masalah banjir yang berlaku di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 5 Januari lepas, Ahmad Zahid dilapor berkata beliau mengarahkan Mustapa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim agar duduk semeja dengan Ahmad bagi memperincikan bentuk koordinasi yang boleh dilakukan antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam menangani masalah banjir di Kelantan.
Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan bagi pelaksanaan projek tebatan banjir di negeri ini.
"Seperti mana diumumkan Timbalan Perdana Menteri pada 5 Januari lalu, kerajaan persekutuan telah meluluskan RM300 juta untuk projek tebatan banjir di Sungai Golok dan RM500 juta untuk projek pengorekan dan pembinaan tambak di Sungai Kelantan.
"Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana bersetuju supaya dikaji pembinaan jambatan Kampung Nibong, Tumpat sepanjang 100 meter bagi menyelesaikan banjir di kawasan Jalan Kesban sejak 2003 berikutan tiada saliran," katanya.
Bencana banjir yang berlaku di Kelantan baru-baru ini menjejaskan 14,256 orang daripada 5,032 keluarga, menurut kenyataan itu.
-bernama

