MP mahu polis dalam kes kematian P Chandran dikena tindakan
Anggota polis yang didapati bersalah kerana cuai dalam kes kematian tahanan seorang pemandu lori P Chandran perlu menghadapi tindakan disiplin, kata seorang ahli parlimen pembangkang.
Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan kerajaan dan polis membayar RM357,500 kepada isteri Chandran, N Selvi, 46 dan anak perempuannya C Rita, 23 selepas mendapati anggota polis terbabit tidak mematuhi Peraturan Lokap 1953.
"Amat sedih dan benar-benar tidak boleh diterima apabila satu nyawa telah hilang kerana kegagalan pegawai penyiasat mengikut peraturan.
"Polis berkenaan harus dikenakan tatatertib," kata Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran, seorang peguam yang sering mengendalikan kes-kes kematian dalam tahanan.
Ahli parlimen DAP itu berkata Hakim Mahkamah Tinggi S Nantha Balan dalam keputusannya juga berkata kes seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dalam sistem demokrasi moden.
"Kerajaan tidak boleh menjadikan kematian dalam tahanan sebagai statistik semata-mata dan menyebabkan ia menjadi kebiasaan," kata Kulasegaran.
Beliau menambah pendekatan serampang dua mata adalah perlu untuk menangani masalah ini.
Ini, katanya, termasuk mengubah mentaliti anggota polis dan pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), purata 17 kematian setiap tahun melibatkan tahanan antara tahun 2000 hingga 2014.
Masalah sistematik
Kulasegaran berkata Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulis di parlimen tahun lalu juga menyatakan terdapat 269 kematian dalam tahanan sejak 16 tahun lalu.
Beliau berkata jawapan itu menunjukkan sebanyak 220 kematian disebabkan penyakit serius dan tiada inkues dijalankan terhadap 102 kes lagi.
"Jumlah kematian tahunan menunjukkan bahawa ada masalah sistemik yang mesti ditangani.
"Kerajaan perlu sedar bahawa setiap nyawa adalah penting dan semua tahanan mempunyai hak yang sama untuk hidup seperti orang lain," katanya.
Chandran pada 2012 ditangkap kerana disyaki terlibat dalam penculikan bayi Indonesia yang pada awalnya dijadikan anak angkat.
Chandran, berusia 47 ketika itu meninggal dunia kerana masalah jantung selepas polis gagal membenarkan dia mengambil ubat-ubatan.
Polis hanya menemukan Chandran 12 jam setelah kematiannya.
Mahkamah tinggi memutuskan polis cuai kerana gagal menyedari keadaan Chandran dan menghantarnya ke hospital.

